Monday, October 25, 2021

Kewangan Sarawak terus kukuh

Mesti baca

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus memastikan perbelanjaan negeri diurus dengan baik bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti, khususnya ketika darurat dan pascapandemik Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi jaminan Sarawak mempunyai kewangan yang kukuh dan banyak program yang dilaksanakan yang akan membantu rakyat pada 2022.

Menurutnya, ia terbukti melalui peruntukan belanjawan sebanyak RM10.136 bilion bagi tahun depan. “Kita ada mempunyai pendapatan sebanyak 10.036 bilion, bermakna kita mempunyai sedikit defisit sebanyak 600 juta.

“Bajet ini adalah bajet perbelanjaan iaitu dalam keadaan yang tidak menentu dan kita memberi tumpuan kepada keadaan rakyat (mata pencarian dan kehidupan mereka),” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Belanjawan Negeri 2022, pad Selasa.

Beliau berkata, dalam belanjawan kali ini, kerajaan banyak memberikan tumpuan untuk membantu rakyat terutama ketika berdepan suasana sukar akibat pandemik Covid-19.

Katanya, kedudukan kewangan yang kukuh membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai program bantuan bagi meringankan beban rakyat. “Seperti yang kita tahu, kerajaan mempunyai perancangan strategik dalam kerangka melindungi kehidupan rakyat.

Kedua, kita membantu dari sudut utiliti iaitu, pemberian utiliti kepada rakyat seterusnya membantu perumahan khususnya untuk golongan B40 dan M40 “Dalam pada itu, kita juga mewujudkan skim bantuan pendahuluan perumahan.

Pada tahun 2022 kita telah memperuntukkan 10 juta untuk membantu pendahuluan perumahan kepada golongan B40. Melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKKS 8) pula, kita akan memperuntukkan sebanyak RM 285.47 juta,” katanya.

Beliau berkata, belanjawan itu merupakan sebahagian rancangan pemulihan pasca Covid-19 yang turut memberikan tumpuan dalam pelbagai aspek yang berkaitan.

Pada masa yang sama ujarnya, penjaja dan peniaga kecil termasuk perahu penambang juga turut dibantu di samping mewujudkan skim tabung pemerkasaan dengan memberi latihan peningkatan kemahiran dan pengisian semula untuk berkerja dalam norma baharu.

“Terima kasih kepada semua kakitangan perkhidmatan awam, kita akan memberi bantuan khas satu setengah bulan gaji dan RM500 kepada perkhidmatan awam persekutuan. Begitu juga petani dan nelayan, kita ada bantuan khas untuk membantu pemegang kecil dalam sektor seperti kelapa sawit dan lada.

“Selain itu, kita juga bantu nelayan melengkapkan diri selain menyediakan bantuan sara hidup untuk golongan berkenaan,” katanya.

Beliau menjelaskan, mesyuarat itu merupakan satu perkongsian bersama semua wakil rakyat berhubung perbelanjaan yang diluluskan di bawah anggaran dana yang akan dibelanjakan dalam tempoh setahun.

“Pada sayalah, inilah pertama kali kita bukan membentang tapi berkongsi bajet kewangan 2022 kerana ketika ini, kita dalam keadaan darurat di bawah undang-undang darurat. Kuasanya terletak pada Ketua Menteri untuk meluluskan peruntukan yang dibelanjakan dalam tempoh satu tahun.

“Tapi saya mengambil keputusan dengan rakan-rakan dalam kabinet, biarlah kita kongsi dengan Yang BerhormatYang Berhormat mengenai perbelanjaan kita pada 2022. Ini sekadar pemberitahuan kepada mereka, bajet yang diluluskan pada 2022 berdasar kepada bidang kuasa Ketua Menteri di bawah Darurat,” ujarnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru