Monday, October 25, 2021

Diserbu ketika lepak sambil hisap dadah

Mesti baca

BAU: Dua lelaki ditahan ketika sedang lepak sambil menghisap dadah di tepi sungai Kampung Bogag, Jalan Serikin-Bau.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata kedua-dua suspek berusia 29 dan 23 tahun, masing-masing dari Kampung Stass dan Kampung Bogag itu ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Bau kira-kira jam 11.15 pagi semalam.

“Pemeriksaan menjumpai sepaket plastik kecil lutsinar berisi syabu seberat 0.38 gram di atas meja tempat mereka sedang lepak,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Poge menambah siasatan awal mendapati mereka membeli dadah daripada seorang rakan.

Katanya salah seorang daripada suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata kedua-dua suspek akan dipohon reman esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) (a) ADB 1952.

Poge berkata sabit kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dihukum penjara tidak lemebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dihukum penjara tidak melebihi dua tahun dan diperintahkan menjalani pengawasan tidak lebih dari dua tahun dan tidak lebih tiga tahun di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Secara Rawak

Artikel Terbaru