Monday, October 25, 2021

Sarawak pergiat terap budaya integriti dalam masyarakat

Mesti baca

KUCHING: Kerajaan Sarawak serius dalam usaha membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dipergiatkan di seluruh negeri.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip menjelaskan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menggariskan dengan jelas hala tuju gerakan pembudayaan integriti yang komprehensif semasa Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI).

Jelasnya, Unit Integriti di Kementerian, Jabatan dan Agensi juga ditubuhkan untuk memastikan penjawat awam mengamalkan budaya kerja unggul dengan ciri-ciri moral dan etika yang kukuh bagi membendung salah laku, jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi.

“Kerajaan Negeri akan terus mempergiatkan lagi usaha untuk membudayakan integriti di pelbagai peringkat masyarakat. Semua langkah ini diharapkan dapat membendung salah laku, jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi.

“Salah satu fungsi utama Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION) adalah pengurusan aduan. Peranan ini adalah untuk menerima pelbagai aduan dan cadangan daripada orang awam (individu) berkaitan dengan perkhidmatan agensi dan jabatan kerajaan. Semua aduan diteliti dan disiasat berdasarkan amalan International Ombudsman iaitu kebebasan, berkecuali, kesaksamaan, kerahsiaan dan informal.

“Melalui Ombudsman, Kerajaan Negeri sebenarnya telah membuka ruang seluas-luasnya untuk masyarakat umum memberi pandangan yang konstruktif tentang mutu penyampaian perkhidmatan awam negeri. Platform ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang awam dengan menyalurkan atau membuat aduan ke UNION,” katanya semasa merasmikan Webinar Integriti Keluarga 2021 secara maya pada Selasa.

Jelas Datuk Talib, dalam membudayakan integriti di negeri Sarawak, integriti kekeluargaan merupakan salah satu fungsi teras yang dititikberatkan.

Tambah beliau, penglibatan institusi keluarga dalam gerakan pemantapan integriti akan menghasilkan masyarakat yang berintegriti dalam jangka masa panjang.

“Institusi keluarga memainkan peranan yang penting bagi melahirkan individu yang berjati diri tinggi dan berintegriti tinggi, seterusnya menyumbang ke arah Sarawak sebagai negeri maju dan berintegriti tinggi menjelang tahun 2030,” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus dalam ucapan penangguhannya menyambut baik penganjuran program berkenaan dalam menyemai budaya berintegriti dalam kalangan masyarakat.

Beliau yang mewakili Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata integriti dalam keluarga merupakan asas kepada keharmonian dalam masyarakat.

Tambahnya, integriti merupakan salah satu dari enam nilai bersama yang dipegang oleh kakitangan awam negeri sebagai asas kepada pembinaan budaya kerja berprestasi tinggi serta penyampaian perkhidmatan bertaraf dunia kepada masyarakat.

Webinar bertemakan ‘Integriti Teras Kesejahteran Keluarga’ dianjurkan menerusi kerjasama Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION), Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) dan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak.  

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru