Friday, October 22, 2021

Rampas aset Petronas: Mengapakah Sudan bertindak melampau?

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Kenapa Sudan bertindak melampau dengan merampas aset Petronas di negara itu? Sudah lupakah mereka kepada segala jasa Malaysia dan Petronas yang mengubah mereka daripada negara miskin dibuli kepada negara pengeluar minyak sejak 20 tahun lalu? 

Itu soalan Penyelidik PhD, Universiti Leiden, Belanda, Abdul Muen Abadi dalam satu kenyataan.

“Sudah lupakah mereka kepada segala jasa Petronas memberi biasiswa mendidik rakyat mereka membangunkan industri petroleum mereka? Sudah lupakah mereka dengan jasa Malaysia membantu mereka di saat kuasa-kuasa besar dunia mengenakan sekatan antarabangsa kepada mereka?,” tanya beliau lagi.

Menurut beliau, Kerajaan Sudan hari ini juga bertindak mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai balasan janji pelaburan besar-besaran dari Barat yang dibuat Amerika Syarikat di bawah Presiden Trump sebelum ini.  

“Gelap mata dengan janji-janji pelaburan Barat itu, kerajaan Sudan yang baru ini telah bertindak kurang bijak dengan merampas aset-aset milik Petronas (Malaysia), Pakistan, Qatar, dan Turki kononnya dengan alasan aset-aset tersebut diperoleh secara tidak sah di bawah pentadbiran Omar al-Bashir dulu,” katanya lagi.

Katanya, sejarah membuktikan betapa kita Malaysia adalah antara negara pertama yang sanggup melabur membangunkan telaga minyak Sudan sejak tahun 1990-an lagi. 

Petronas mengorak langkah dengan projek GNPOC (30 peratus) pada 6 Disember 1996, dan di Lundin’s Block 5A pada 6 Februari 1997 (28.5 peratus).

Malah,  katanya lagi, pada tahun 2003 Petronas menyelamatkan industri petroleum Sudan dengan membayar tunai US$142.5 juta untuk membeli 40.375 peratus ‘working interest’ daripada konsortium Lundin Petroleum dan OMV yang terpaksa menjual pegangan mereka di Block 5A akibat tekanan berkaitan penglibatan mereka dalam perang minyak di Sudan. 

“Ketika Sudan dibadai krisis kemanusiaan Darfur dulu pun Malaysia teguh berdiri di samping Sudan, siap menyumbang melalui kempen ‘Dapur untuk Darfur’.

Bukan sekadar membangunkan sumber petroleum, Petronas turut berjasa besar dalam pembangunan sumber manusia Sudan,” jelasnya.

“Tidak cukup dengan beratus biasiswa prasiswazah dan pascasiswazah di Universiti Teknologi Petronas (UTP) kepada anak muda Sudan, Petronas bahkan turut menyumbang perpustakaan bergerak untuk kemudahan anak-anak sekolah di Sudan sejak tahun 2005 hingga 2011,” kata beliau.

“Bahkan pada tahun 2019 Menteri Minyak dan Gas Sudan sendiri Yagoub Adam Bashir Gamaa mengiktiraf jasa Petronas secara khusus. Namun begitu, beberapa hari kemudian iaitu pada 11 April 2019 rampasan kuasa tentera telah menjatuhkan kerajaan Presiden Omar al-Bashir,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru