Monday, October 25, 2021

Projek penternakan lembu di Kampung Merembeh Bau berpotensi besar

Mesti baca

BAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh turun padang bagi menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Penternakan Lembu di Kampung Merembeh Bau pada Selasa.

Beliau memaklumkan, seramai 28 peserta terlibat dalam pelaksanaan projek yang diuruskan oleh Koperasi Ternakan Lembu Daging Kampung Merembeh.

Jelasnya, projek tersebut dilaksanakan selepas mengambil kira daging yang sedia ada di Sarawak adalah produk import dan ianya mempunyai potensi bagi penduduk tempatan melopori perniagaan penternakan lembu.

“Saya  memilih projek yang dilaksanakan di kampung ini kerana penduduk setempat akan menjadi pelopor penternakan lembu di Bau sekaligus menjadi sumber pendapatan yang besar bagi Sarawak.

“Lebih baik kita beri peluang kepada penduduk kita sendiri daripada bergantung dengan daging import dan pihak Jabatan Veterinar Sarawak akan mengajar dengan terperinci cara penternakan lembu menerusi sistem ‘feedlot’,” katanya.

Tambah Miro, kerja-kerja pembersihan tanah dan menanam rumput jenis Napier termasuk penanaman tebu akan turut dilaksanakan pada peringkat permulaan projek untuk dijadikan sebagai makanan lembu.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS), Dr. Adrian Susil Ambud memberitahu, pembiayaan projek di bawah Agriculture Facilitation Fund (AFF) melibatkan JPVS yang bertindak sebagai agensi pelaksana dan pemantauan projek.

“Projek ini telah mendapat peruntukan berjumlah RM400,000 dan kita mensasarkan peningkatan dari 12 peratus kepada 50 peratus pendapatan dengan sasaran 150,000 ekor lembu menjelang 2030.

“Ianya boleh dikembangkan lagi dengan melibatkan penyembelihan daging halal di rumah sembelih Siburan Halal Abbatoir oleh PPES Ternak dan penjualan daging boleh dilakukan secara terus ke pasaran dan restoran,” ujarnya.

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru