Friday, October 22, 2021

Persimpangan Batu 7 dibuka kepada orang awam

Mesti baca

KUCHING: Persimpangan Batu 7, Kota Sentosa kini dibuka kepada orang awam bermula Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang berkata, beliau berharap dengan pembukaan simpang ini, ia akan mengurangkan masalah kesesakan jalan raya di sekitar situ.

“Sejak penutupan simpang ini tiga bulan lalu, pelbagai masalah timbul terutama sekali kesesakan lalu lintas sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati pengguna jalan raya.

“Tapi hari ini persimpangan ini sudah dibuka dan saya berharap  kesesakan lalu lintas ini akan berkurang walaupun ia tidak dapat diselesaikan 100 peratus,” katanya ketika ditemui media semasa pembukaan simpang tersebut.

Dalam pada itu, Khere Chiang memberitahu lagi, menjelang hujung bulan ini, dua lorong dari kedua-dua arah akan dibuka dan akan menyelesaikan masalah kesesakan itu secara drastik.

Sementara itu, beberapa orang awam ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata, pembukaan simpang ini memberi kelegaan kepada mereka.

Salah seorang pengguna jalan raya iaitu Bong Kuo Kuiom memberitahu, beliau sangat gembira dan tidak perlu menghadapi kesesakan jalan raya yang teruk lagi.

“Saya sangat gembira jalan raya kini telah dibuka. Semasa ia belum dibuka, tiap hari balik rumah pada pukul 7.30 malam atau jam 8 malam kerana masih berlaku kesesakan jalan,” ujarnya.

Manakala bagi Cliff Maria, pembukaan simpang itu sedikit sebanyak membantu mempermudahkan pergerakannya.

“Saya bersyukur kerana jalan raya dan lampu isyarat kini telah dibuka untuk pengguna jalan raya.

“Ianya mempermudahkan saya sekiranya hendak pergi ke Batu 7 dan ia tidak seperti sebelum ini semasa ditutup yang mana saya perlu berpusing-pusing dan patah balik untuk mencari kedai di batu 7 ini,” kata Cliff.

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru