Friday, October 22, 2021

Peningkatan kes jenayah di Vista Perdana Fasa 2 membimbangkan

Mesti baca

MIRI: Peningkatan kes kecurian yang berlaku di Vista Perdana Fasa 2 baru-baru ini sangat membimbangkan.

Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, beliau telah meminta Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Daerah Miri menyelesaikan kes kecurian dengan cepat dan menambahkan rondaan polis bagi mencegah jenayah di kawasan itu.

“Oleh kerana pandemik COVID-19, orang ramai sekarang kini hidup dalam kesulitan.

“Saya tidak mahu melihat peningkatan jenayah menjadikan penduduk bertambah risau dan berasa takut.

“Sebagai Datuk Bandar Miri, saya akan berusaha sedaya upaya memastikan Miri adalah tempat tinggal yang selamat dan selesa,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan mesra ke atas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Miri Loh Wooi Kee di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada Selasa.

Pada masa sama, jelas Adam Yii lagi, beliau mahu pihak polis bertindak segera ke atas peningkatan kadar jenayah dengan meningkatkan rondaan untuk melindungi keselamatan dan harta benda rakyat.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Miri Loh Wooi Kee memberitahu pihaknya telah membuat beberapa tangkapan terhadap sindiket pecah rumah, pencuri kereta dan jenayah lain di Miri baru-baru ini.

“PDRM telah mendapat sokongan yang kuat daripada masyarakat dalam menyelesaikan kes jenayah dan kebanyakan kes tersebut telah dapat diselesaikan dengan cepat.

“Masyarakat juga diminta melaporkan semua kejadian jenayah kepada pihak polis supaya pihaknya dapat menyiasatkan kes tersebut dengan segera,” katanya.

Tambah Loh lagi, data kes jenayah polis menunjukkan kadar jenayah di Miri sebenarnya menurun dan meminta masyarakat terus memberikan kerjasama kepada polis untuk memastikan setiap kes jenayah itu dapat diselesaikan secara kolektif.

Turut sama hadir Ketua Pasukan Rondaan JKP Vista Perdana Fasa 2 Malateh Mahmud.

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru