Monday, October 25, 2021

Pemberian vaksin dos ketiga, dos penggalak di Sarawak mulai hari ini

Mesti baca

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memulakan pemberian vaksin dos ketiga dan dos penggalak vaksin COVID-19 untuk semua penduduk Sarawak mulai hari ini.

Untuk rekod, dos ketiga diberikan kepada individu berisiko tinggi, manakala dos penggalak pula diberikan kepada semua individu untuk meningkatkan tahap imuniti yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Rosemawati Ariffin memaklumkan, usaha tersebut adalah bagi memberi perlindungan kepada golongan yang mempunyai masalah sistem imun untuk melawan jangkitan COVID-19.

“Dos ketiga vaksin COVID-19 adalah didefinisikan sebagai pemberian dos vaksin tambahan apabila tindak balas imun seseorang di peringkat awal berkemungkinan tidak mencukupi berikutan daripada pemberian awal vaksin secara berturut-turut atau ‘primary vaccine series’.

“Manakala, dos penggalak vaksin COVID-19 merupakan dos pemberian vaksin bagi seseorang yang pada awalnya mempunyai tindak balas imun yang cukup terhadap pemberian vaksin secara berturut-turut tetapi mungkin menjadi semakin berkurang dari semasa ke semasa,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Rabu.

Tambah Dr Rosemawati, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan polisi vaksin jenis Pfizer diluluskan sebagai dos penggalak, kelulusan telah diberikan untuk vaksin yang mempunyai fungsi serupa dengan vaksin yang telah diberikan secara berturut-turut di peringkat awal atau vaksinasi homolog.

“Selang tempoh dari dos terakhir vaksin COVID-19 untuk pemberian dos ketiga adalah sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos kedua dan untuk dos penggalak adalah sekurang-kurangnya enam bulan selepas dos kedua.

“Golongan yang diberikan keutamaan untuk pemberian dos ketiga pada masa ini adalah golongan ‘immunocompromise’ atau yang mempunyai sistem imun yang lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan dan dos penggalak vaksin COVID-19 adalah untuk warga emas iaitu mereka yang berusia lebih 60 tahun dan petugas barisan hadapan perubatan,” ujarnya.

Dr Rosemawati menambah, pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin COVID-19 boleh didapati di klinik kesihatan kerajaan terpilih, hospital swasta dan klinik swasta dengan menghubungi klinik berkenaan terlebih dahulu untuk mendapatkan janji temu.

“Senarai nama klinik kesihatan kerajaan, klinik dan hospital swasta akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa melalui saluran media massa dan media sosial untuk memudahkan proses janji temu.

“JKNS berharap dengan pemberian dos ketiga dan dos penggalak ini khususnya kepada kumpulan berisiko tinggi akan dapat membawa Sarawak khususnya, dan Malaysia amnya, keluar daripada krisis pandemik ini dan mulai memasuki kehidupan dalam suasana endemik,” katanya.

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru