Monday, October 25, 2021

Padah cederakan dan ugut bunuh abang ipar

Mesti baca

KUCHING: Padah mencederakan dan mengugut bunuh abang ipar, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Kartino, 34, apabila mengaku bersalah atas dua pertuduhan dibacakan di hadapannya.

Pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja mencederakan abang abang iparnya Joli Kipli, 40 menggunakan sebatang penyapu.

Manakala, pertuduhan kedua adalah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan ugutan jenayah dengan mengugut bunuh mangsa yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Jalan Sungai Apong, sekitar jam 5.00 petang, 11 Mac lalu.

Hakim menetapkan hukuman penjara lapan bulan bagi pertuduhan pertama. Manakala, pertuduhan kedua penjara lima bulan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara dua pertuduhan tersebut berkuatkuasa dari tarikh tertuduh direman iaitu 5 April lalu.

Menurut ringkasan kes, berlaku salah faham antara tertuduh dengan mangsa hingga berlakunya kejadian memukul mangsa menggunakan sebatang penyapu dan mengugut akan menyerang menggunakan sebilah parang.

Tertuduh juga mengancam hendak menetak mangsa sekiranya enggan keluar dari rumah.

Mangsa yang bimbang akan keselamatan diri kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sehari selepas kejadian, tertuduh berjaya ditahan oleh pihak polis di Jalan Sungai Apong, sekitar jam 11.15 pagi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.

Secara Rawak

Artikel Terbaru