Friday, October 22, 2021

Fazzrudin sokong Belanjawan Negeri Sarawak 2022

Mesti baca

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman menyokong penuh Belanjawan Negeri Sarawak 2022 yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada pagi Selasa. 

Katanya, Belanjawan Negeri Sarawak 2022 kali ini bersifat inklusif, berteraskan rakyat (people-centric) dan meneruskan kesinambungan agenda pembangunan (development-biased) di Sarawak.

“Saya menyambut baik belanjawan negeri untuk tahun 2022 yang berjumlah RM10.646 billion, di mana RM6.6 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan dan RM4.046 bilion untuk perbelanjaan pengoperasian.

“Ini untuk menerangkan pendekatan kerajaan negeri dalam menggubal belanjawan negeri untuk tahun hadapan dan memberi penjelasan berkenaan dengan isu-isu berbangkit. 

“Ia juga untuk memastikan tadbir urus yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menggunakan dana rakyat,” katanya dalam  kenyataan media pada Selasa. 

Ujarnya lagi, Belanjawan Negeri Sarawak 2022 ini bersifat ‘expansionary’ dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat yang berteraskan ‘protecting lives and livelihood’ iaitu menyelamatkan nyawa dan memastikan kelangsungan hidup semasa pandemik COVID-19.

Menyentuh mengenai penyertaan belia dalam pelaksanaan Undi 18 Tahun, beliau yang Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menegaskan Kerajaan Sarawak menyambut baik penyertaan belia dalam proses demokrasi negara melalui pelaksanaan Undi 18 Tahun.

“Belia masa kini sudah pun matang, berpengetahuan dan telah mendapat pendedahan sewajarnya dalam proses pentadbiran negara. 

“Golongan ini juga cakna dengan perkembangan politik semasa dan juga dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan,” tegasnya. 

Fazzrudin juga menambah, Kerajaan Sarawak telah mewujudkan pelbagai inisiatif dan program yang telah memberi manfaat kepada golongan belia, khususnya dari segi pendidikan dan kebajikan. 

“Antaranya ialah insentif untuk membayar 30 peratus daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada yang peminjam yang layak.

“Kerajaan Sarawak juga mewujudkan inisiatif Graduan Pulang Sarawak (iGPS) untuk pelajar Sarawak yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang disokong Sarawak Volunteers (SV) bagi membantu anak-anak Sarawak yang berdepan masalah dan kesulitan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19,” tambahnya.

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru