Thursday, December 9, 2021

Agrobank sumbang RM20,000 kepada mangsa banjir di Penampang

Secara Rawak

PENAMPANG: Agrobank meneruskan misi bantuan ‘Agrobank dan Komuniti’ dengan menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir di daerah Penampang, Sabah dengan jumlah peruntukkan keseluruhan RM20,000. Sumbangan ini disalurkan oleh Agrobank dengan mengedarkan 200 barangan keperluan kepada penduduk Kampung Sugud.

Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, “Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Agrobank akan permasalahan dan situasi sukar semasa yang sedang dihadapi oleh penduduk sekitar Kampung Sugud di mana rutin kehidupan harian terjejas akibat bencana banjir yang melanda kawasan itu baru-baru ini.”

“Sumbangan yang diedarkan oleh Agrobank adalah berupa barangan keperluan seperti selimut, tilam dan bantal. Kami mendoakan agar mangsa banjir di kawasan yang terjejas ini tabah menghadapi dugaan dan usaha pemulihan di kawasan terbabit dapat dilaksanakan sebaiknya,” kata Khadijah.

“Kami juga berharap misi bantuan ‘Agrobank dan Komuniti’ ini sekurang-kurangnya mampu meringankan sedikit beban dan membantu penduduk Kampung Sugud di Sabah untuk meneruskan kehidupan rutin seharian mereka selepas ditimpa bencana ini,” tambahnya.

Sesi penyerahan sumbangan ini disempurnakan oleh Sani Bin Lamat, Penanggung Tugas Pengarah Wilayah Sabah Agrobank kepada Stanly Sikoli, Penolong Pegawai Daerah Penampang Bahagian Pembangunan di Kelab Kompleks Sukan Penampang.

Misi bantuan di Penampang ini merupakan kesinambungan inisiatif tanggungjawab sosial korporat Agrobank menerusi program perdananya iaitu ‘Agrobank dan Komuniti’ yang dilancarkan dengan tujuan untuk mendekati dan menyantuni komuniti setempat di mana Agrobank beroperasi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru