Friday, October 22, 2021

Peniaga di Mukah terpedaya, rugi RM2,150

Mesti baca

MUKAH: Terpedaya dengan sebuah iklan jualan set komputer di Facebook, seorang lelaki berusia 32 tahun yang berniaga kedai runcit di Kampung Bunut Mukah mengalami kerugian RM2,150.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata mangsa telah tertarik dengan iklan yang dipaparkan di Facebook itu dan segera menghubungi seorang lelaki melalui aplikasi Whatsapp.

“Mangsa telah berurusan dengan seorang lelaki bernama Kua Sin Lee melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-36686684.

“Seterusnya mangsa turut membuat dua kali transaksi pemindahan wang melalui Maybank2u ke akaun Hong Leong Bank bernombor 36550066914 atas nama pemilik akaun Kua Sin Lee dengan transaksi pertama berjumlah RM1,900.00,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi pada 6 Oktober 2021 yang lalu pada jam 10.33 pagi lelaki berkenaan sekali lagi meminta mangsa membuat transaksi kali kedua ke akaun yang sama atas alasan kos bayaran insuran dan khidmat penghantaran berjumlah RM 250.00.

“Malah suspek turut memberitahu mangsa bahawa set komputer tersebut akan sampai dalam tempoh empat hari dan jumlah keseluruhan transaksi pemindahan wang tersebut ialah RM 2150.00.

“Namun demikian sehingga 11 Oktober 2021 (Isnin) barang yang dijanjikan masih belum sampai dan lelaki berkenaan juga gagal dihubungi.

“Akibat rasa tertipu mangsa membuat laporan Polis di Balai Polis Mukah pada 11 Oktober 2021 (Isnin),”dedahnya lagi.

Kes kini disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Mukah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan lelaki dikenali Kua Sin Lee juga sedang dijalankan dan disyaki berada di luar Sarawak.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati apabila membuat pembelian barangan secara dalam talian agar tidak menjadi mangsa penipuan atau ‘scammer’ .

“Masyarakat sering kali telah diberi peringatan namun demikian kes-kes begini terus berlaku.

“Maka adalah menjadi harapan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) khususnya di daerah Mukah agar masyarakat sentiasa peka dengan kejadian yang berlaku agar tidak berulang pada masa depan,”tegasnya lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru