Monday, October 25, 2021

Pasukan petugas khas kaji dakwaan Tommy Thomas

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Kabinet bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasukan petugas berkenaan akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat.

“Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak sebagai urus setia,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan itu antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Thomas mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim.

Pasukan berkenaan turut akan menyiasat dakwaan campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan.

Ismail Sabri berkata jawatankuasa yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan susulan.

Pada 28 Feb tahun lepas, Thomas meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara, empat bulan sebelum tempoh kontraknya berakhir berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari sama.

Thomas, 69, dilantik oleh Tun Mahathir pada 4 Jun 2018 bagi tempoh dua penggal untuk menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali selepas kerajaan Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Tempoh jawatan Thomas sepatutnya berakhir pada Jun 2020.

Thomas yang merupakan seorang peguam kanan telah menerbitkan buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’, pada awal tahun ini.

Buku itu menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak antaranya Jabatan Peguam Negara, peguam, ahli politik dan orang awam kerana didakwa mengandungi unsur hasutan, penghinaan dan fitnah.

Berikutan itu polis telah menerima lebih 100 laporan terhadap Thomas berhubung penerbitan buku berkenaan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru