Monday, October 25, 2021

Hidup lebih makmur

Mesti baca

KUCHING: Pelan Induk Bandar Pintar Kuching (KSCMP) yang pertama seumpamanya di Malaysia boleh disifatkan sebagai game changer kepada penduduk bandar di Sarawak seperti bandar di China yang berjaya menggabungkan penggunaan teknologi digital demi kehidupan lebih makmur walaupun dengan kepadatan penduduk yang tinggi.

Pengerusi Sheda Cawangan Kuching, Datuk Sim Kiang Chiok memberitahu, pelan yang dilancarkan Ketua Menteri itu merupakan inisiatif yang baik serta langkah progresif tepat bermula dengan pelaksanaan Bandar Pintar Miri.

“Di Kuching, pembangunan Darul Hana di Petra Jaya akan menjadi yang pertama digabungkan dengan program bandar pintar serta menjadi contoh bagaimana kawasan perumahan baharu yang dilengkapi teknologi digital dapat membantu mewujudkan kawasan dapat dihuni dengan kecekapan perkhidmatan pihak majlis dan aspek keselamatan lebih baik.

“Seterusnya Padawan dan Samarahan, juga akan menjadi platform implementasi bandar pintar seperti diumumkan oleh Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. “Justeru, pelan yang pertama seumpamanya di Malaysia boleh mengubah penduduk bandar di Sarawak yang berjaya menggabungkan penggunaan teknologi digital demi kehidupan lebih makmur walaupun dengan kepadatan penduduk tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam maklum balasnya terhadap pelancaran pelan berkenaan di sini, semalam. Jelasnya, penggunaan sistem operasi lazim pelan induk bandar pintar oleh sektor awam dan membenarkan sektor swasta untuk berkolaborasi mampu meningkatkan program bandar pintar dengan lebih banyak aplikasi dan pengguna, baik untuk keselamatan rumah persendirian, pengangkutan atau pelancongan.

“Dengan data dikumpul oleh sistem operasi ini, kerajaan mudah untuk meningkatkan perkhidmatan yang disediakan dan untuk pelaburan swasta – lebih efisien bagi perkhidmatan yang akan diberikan.

“Maka, amat diharapkan sebarang kerjasama dengan program bandar pintar ini akan menjadi mudah dan menjimatkan kos bagi pihak swasta agar lebih banyak aplikasi pintar swasta dapat digabungkan dengan pelan bandar pintar berkenaan,” ujarnya.

Tambah Kiang Chiok, dengan visi untuk Sarawak lebih maju dan berkembang, Abang Johari menggalakkan masyarakat menggunakan teknologi digital demi membawa kemajuan yang lebih cepat dan besar untuk kepentingan semua.

“Bandar di Sarawak mampu setaraf dengan semua bandar pintar yang maju di dunia apabila program bandar pintar kita berjaya dilaksanakan sepenuhnya kelak,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru