Thursday, December 9, 2021

197 saman dikeluarkan sepanjang Op Khas Nombor Pendaftaran

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak 197 keping saman dikeluarkan atas kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan sepanjang Op Khas Nombor Pendaftaran.

Operasi yang bermula 4 hingga 8 Oktober lalu itu telah memeriksa sebanyak 407 kenderaan dan 517 orang, dijalankan oleh pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ashmon Bajah berkata, saman terbanyak adalah melibatkan motosikal dengan 119 keping, diikuti kereta (55), pacuan empat roda (18) dan van (4).

Katanya, bagi kesalahan nombor pendaftaran ‘fancy’, sebanyak 52 keping saman dikeluarkan terhadap motosikal, kereta (29), pacuan empat roda (2) dan van (1).

“Manakala sebanyak 26 keping saman dikeluarkan bagi kesalahan tiada nombor pendaftaran, dengan 25 melibatkan motosikal dan satu keping saman kereta.

“Selain itu, sebanyak 169 keping saman dikeluarkan atas lain-lain kesalahan sepanjang tempoh operasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan jalan raya dan kaedah-kaedah lalu lintas yang telah ditetapkan.

Tambah Ashmon, Op Khas Nombor Pendaftaran akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengelakkan berlakunya nombor pendaftaran yang sukar dibaca dan mengelirukan kerana ia menyebabkan penguatkuasaan had laju, kes langgar lari dan kes jenayah yang memerlukan pengecaman nombor pendaftaran tidak dapat dilakukan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru