Sunday, December 5, 2021

Menteri: Harga baharu kit ujian pantas RTK Antigen diumum bulan depan

Secara Rawak

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengumumkan paras harga baharu kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) pada bulan hadapan, kata menterinya,  Datuk Seri Alexander Nanta Linggi .

Menurut beliau, pihaknya sedang membuat penilaian di peringkat industri sebelum menentukan harga siling borong dan runcit yang baharu.

“KPDNHEP juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis yang menjual kit ujian pantas antigen COVID-19 seperti pasar raya dan telah ada yang bersetuju untuk menjual lebih rendah daripada paras harga yang telah ditetapkan oleh Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Alexander lagi, KPDNHEP amat menggalakkan peniaga menawarkan harga lebih rendah dan munasabah tanpa kerajaan menentukan paras harga yang baharu.

Jelasnya, KPDNHEP akan memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 selain daripada farmasi dan klinik.

Katanya KPDNHEP turut mengambil maklum bahawa terdapat lebih kurang 6 juta kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) telah berada dalam pasaran.

“Penetapan harga yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 5 September 2021 turut mengambil kira kos yang terlibat di dalam membawa masuk dan mengeluarkan kit ujian pantas antigen Covid-19 tersebut,” ujarnya.

“Kerajaan juga telah menerima maklum balas daripada industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan yang mencukupi dan berterusan,” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru