Friday, October 22, 2021

Khairy: SOP sedia ada akan terus dipakai

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara akan terus dipakai selepas kebenaran pergerakan rentas negeri diberikan tidak lama lagi.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin,  SOP berkenaan akan turut terpakai untuk mengawal pergerakan mereka yang enggan menerima suntikan vaksinasi dengan mengawal kebebasan yang mereka ada untuk melakukan pelbagai aktiviti biarpun mereka merentas negeri.

“SOP MKN yang sedia ada akan terus dipakai, maksud dia apa? Maksudnya kalau SOP yang sedia ada tidak membenarkan siapa-siapa yang tidak menerima vaksin untuk melakukan dine-in di restoran itu (SOP) terpakai.

“Walaupun kita akan kata hanya rentas negeri untuk mereka yang divaksinasi, tidak ada cara untuk kita mengawal pergerakan yang belum divaksinasi, saya akui, kita tidak akan ada sekatan jalan raya tetapi kalau mereka balik atau merentas negeri dan cuba makan di restoran, mereka tidak akan diberi kebebasan sedemikian,” kata beliau dalam sidang media Menteri Kesihatan hari ini yang diadakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di ibu negara, semalam.

Selain itu, Khairy berkata pihak kerajaan tidak ada cara untuk melakukan pemeriksaan kepada setiap orang yang merentas negeri untuk diperiksa sama ada mereka divaksinasi atau tidak kerana ia akan lebih menyukarkan pergerakan orang ramai.

Beliau memberi maklum balas terhadap cadangan untuk mewajibkan ujian kendiri kepada mereka yang masih belum divaksinasi tetapi mahu merentas negeri.

“Kita telah kaji rancangan tersebut, namun demikian tidak ada cara untuk kita menguatkuasakan cadangan tersebut. Takkan kita hendak ada sekatan jalan raya (SJR) dan kita periksa setiap orang yang keluar dan kalau dia tak divaksinasi kita minta dia buat ujian saringan di situ (SJR),” katanya.

“Saya rasa rakyat lebih marah kalau berlaku kesesakan jalan di mana mereka dah tunggu nak balik kampung tiba-tiba ada sekatan jalan raya di mana ia periksa setiap orang yang mana tidak divaksinasi mereka kena buat ujian kendiri,” katanya lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru