Sunday, December 5, 2021

Hukuman untuk kontraktor culas

Secara Rawak

BELADIN: Kelewatan kontraktor melaksanakan projek pembangunan akan menimbul isu besar dan mereka tetap akan dikenakan tindakan. Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi berkata, kontraktor harus berjaya melakukan projek seperti mana dijadual dan ditetapkan.

“Saya ingatkan kontraktor yang ada hari ini agar tidak mengikut jejak kontraktor yang lewat (gagal). “Memang ada yang lewat dan saya tidak menafikan misalnya PA1 di Simpang Tambir ke Asajaya dan PB1 Bintulu-Miri.

“Apabila berlaku kelewatan, kualiti tidak bagus dan orang awam mengadu, ia akan menjadi isu besar. “Tetapi yang lewat, kita tetap ambil tindakan dan mesti ada strategi untuk mengejar kembali status projek agar selari dengan jadual yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melawat tapak projek baik pulih dan naik taraf Jalan Pesisir TrisoMelebu-Pusa di sini, semalam.

Ditanya tentang isu kelewatan projek baik pulih dan naik taraf Jalan Pesisir Triso-Melebu-Pusa, jelasnya disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tetapi kita ada tempoh masa lanjutan (EOT) sebanyak 46 hari, maka apabila ada kelewatan sedikit ia boleh diatasi dengan tempoh tersebut.

“Dan, saya kira projek ini masih dalam jadual. “Oleh sebab itu saya tekankan agar kontraktor sentiasa mengetahui prestasi dan perjalanan projek di tapak, bukan hanya bergantung kepada taklimat daripada jurutera masing-masing,” ujarnya.

Julaihi bagaimanapun menzahirkan keyakinan bahawa tiga kontraktor yang terlibat iaitu Melatai Resources Sdn. Bhd. PPES Work Sdn. Bhd. dan Bena ATK Sdn. Bhd. dapat menyiapkan projek tersebut mengikut jadual.

“Saya yakin mereka sebagai kontraktor berpengalaman, mereka tahu apa yang perlu dilakukan. “Kerana mereka telah berjaya melalui tender terbuka, makna mereka cukup bagus untuk mengimplementasi projek ini,” tambahnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru