Thursday, December 9, 2021

Dua pemenang hadiah buku Asia Tenggara dari Malaysia

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Dua pemenang Hadiah Sastera MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara) kesembilan tahun  ini  adalah dari Malaysia.

Hadiah itu menampilkan enam pemenang daripada kalangan penulis dan karyawan sastera dalam ranah kesusasteraan Melayu kontemporari.

Keenam-enam pemenang merupakan pengkarya berbahasa Melayu dari serantau Asia Tenggara masing-masing, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Dalam pengumuman yang bersiaran di Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pagi Khamis, dua orang daripada barisan pemenang ialah penulis dari Malaysia, lapor Jendela DBP.

Pemenang bagi kategori Karya Sastera Kreatif ialah penyair, Muzaf Ahmad, melalui kumpulan puisi Sepasang Sayap di Bahu, manakala pengarang dan sarjana sastera, Rahimah A. Hamid (Allahyarhamah) pula terpilih memenangi kategori Karya Sastera Bukan Kreatif melalui buku kajian sasteranya, Proses Kreatif: Sensitiviti dan Kreativiti Pengarang. Hadiah diberikan secara posthumus kepada beliau yang sudah meninggalkan kita dua tahun yang lepas.

Muzaf Ahmad, yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah sambilan Bahasa Melayu di Tokyo University of Foreign Studies, pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 bagi kumpulan puisinya, Jualah Sampai Syurga.

Allahyarhamah Rahimah A. Hamid pula merupakan seorang ahli akademik yang berdedikasi dari Universiti Sains Malaysia yang amat dikenali untuk kajian sasteranya yang mendalami karya sastera pascakolonial Malaysia dan Asia Tenggara.

Sementara itu, pemenang Hadiah Sastera MASTERA ke-9 lain yang turut terpilih dalam kategori Karya Sastera Kreatif ialah kumpulan puisi Surat-surat Kemerdekaan dari Brunei naskhah hasil Yahya M.S (Brunei Darussalam), penerima SEA Write Award; novel Dasamuka oleh sasterawan yang berasal dari Purworejo, Junaedi Setiyono (Indonesia); dan kumpulan cerpen Bara karya mantan Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Maarof Salleh.

Penerima hadiah kategori Karya Sastera Bukan Kreatif yang lain pula ialah Yahya M.S (Brunei Darussalam) melalui Gagasan Ketatanegaraan dalam Syair Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien; Abdul Wachid B.S. (Indonesia) melalui Sastra Pencerahan; dan Kartini Anwar (Singapura) melalui Pemikiran dan Gaya Mengarang Raja Ali Haji. Buku kajian sastera tersebut merupakan buku terbitan DBP, selain buku Rahimah A. Hamid, Proses Kreatif: Sensitiviti dan Kreativiti Pengarang. Kesemua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10 ribu.

Hadiah Sastera MASTERA merupakan pengiktirafan hadiah sastera bertaraf antarabangsa yang meneliti kesemua karya berbahasa Melayu dari negara di bawah anggota Majlis Sastera Asia Tenggara. Hadiah ini dilaksanakan buat kali pertama pada tahun 1991.

Ketua Pengarah DBP Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dalam ucapannya berharap agar pengiktirafan ini dapat memberikan manfaat yang besar dalam usaha untuk membina rangkaian dan mengukuhkan hubungan antara sasterawan dalam kalangan negara anggota MASTERA.

“Selain mengukuhkan dan memantapkan peranan perkembangan sastera dalam negara, usaha selanjutnya adalah untuk mengantarabangsakan sastera pada peringkat yang sewajarnya,” kata beliau seperti dipetik Jendela DBP lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru