Friday, October 22, 2021

Bukan hendak pinda perjanjian Malaysia 1963

Mesti baca

KUCHING: Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tugas kementeriannya akan tertumpu kepada usaha  meminda perkara-perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang relevan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA-63), dan bukannya meminda perjanjian tersebut.

Tujuannya adalah untuk mengembalikan semula hak-hak rakyat Sarawak dan Sabah  yang telah terhakis ekoran daripada pindaan Perlembagaan atau penggubalan undang-undang baharu sejak tahun 1963,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (parlimen dan Undang-undang) itu berkata,  perjanjian ini tidak boleh diubah atau dipinda.

Jelasnya pindaan Perlembagaan Persekutuan penting bagi memastikan hak-hak Sabah dan Sarawak akan dapat dikembalikan, seperti dipersetujui dalam perjanjian sewaktu menyertai Malaysia 58 tahun lalu.

“Usaha yang dilakukan oleh kementerian saya, dengan sokongan pihak Jabatan Peguam Negara, adalah selari dengan matlamat berkenaan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

“Antaranya memperbetul  perkara-perkara yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan yang menimbulkan salah tafsiran kepada  MA63 dan pindaan perlu dibuat supaya selari dengan apa-apa yang dipersetujui dalam Perjanjian MA63,”  katanya, sambil menegaskan isu berkenaan dekat di hati dan telah lama menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan penduduk di Borneo.

Secara Rawak

Artikel Terbaru