Sunday, January 23, 2022

Kampung Kupang banyak ‘kawah’ di atas jalan

Secara Rawak

SARATOK: Beberapa tahun yang lalu dikhabarkan jalan raya menuju ke Kampung Kupang dekat sini akan dinaik taraf.

Kampung yang terletak jauh dari tatapan umum itu menjadikannya seperti jauh di mata, jauh di hati.

Jalan raya yang hanya berstruktur batu dan tanah itu kini telah terbentuk banyak ‘kawah’ pelbagai saiz yang menakung air di atas permukaan jalan dan menyukarkan pergerakan pengguna jalan raya di situ.

Bagi penduduk, ‘alah bisa tegal biasa’. Oleh sebab tiada pilihan lain lantaran itu sahaja jalan darat yang ada untuk ke luar kawasan maka situasi jalan buruk itu terpaksa diredah jua oleh penduduk.

Untuk rekod, dari jalan utama di simpang Bajau – jalan raya berkenaan telah diturap sejauh kira-kira 10 kilometer sahaja. Dan kini masih berbaki kira-kira 11 kilometer yang belum dinaik taraf.

Persoalan yang timbul mengapa proses menaik taraf jalan raya tersebut terlalu memakan masa lama. Apakah permasalahan kawasan itu sekadar seperti melukut di tepi gantang, masuk tidak membawa cukup.. keluar tidak menyebabkan kurang?

Seorang penduduk Kampung Kupang, Mawi, 55, berkata mereka rasa terpinggir apabila tidak menikmati nikmat pembangunan sebagaimana yang dikecapi oleh penduduk di kawasan lain.

“Kalaupun tidak ada pembangunan lain tolonglah baiki dan naik taraf jalan raya ke kampung kami. Lama sangat dah kami terpaksa hadap situasi jalan raya teruk ketika orang lain sudah lama menikmati kemudahan itu berbanding kami di sini,” katanya.

Jalan raya tersebut menjadi isu utama sejak sekian lama kerana jalan raya berkenaan merupakan satu-satunya jalan darat yang menghubungkan kawasan itu dengan pekan Saratok dan kawasan berdekatan sekitarnya.

Jalan raya tersebut kini rosak dan perlu perhatian serta tindakan daripada pihak berwajib.

 

Permukaan jalan raya berkenaan yang tidak berturap kini terbentuk banyak lubang begitu menyukarkan kenderaan penduduk yang ulang-alik melalui jalan raya tersebut.

Keadaan menjadi makin rumit apabila penduduk melaluinya pada waktu malam lebih-lebih lagi apabila ada berlaku kes kecemasan dan juga kes penduduk sakit dan perlu dibawa ke hospital dalam keadaan segera.

Sehubungan dengan itu penduduk di situ berharap jalan raya berkenaan dibaiki dalam kadar segera.

Mereka juga berharap usaha menaik taraf dengan menurap jalan raya berkenaan dapat dilaksanakan oleh pihak berwajib.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru