Monday, October 25, 2021

Muflis, hilang kerja: Hari tak selalunya cerah

Mesti baca

Bahana Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) begitu dahsyat termasuk dari segi  ekonomi.  Prestasi dan pertumbuhan ekonomi negara menguncup. Roda ekonomi memang berputar tetapi putarannya tidak sehebat dan seligat seperti sebelum pandemik melanda. Seluruh dunia merasai kesannya. Memang hidup ini ada pasang surutnya.

Pada Julai lalu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menjangkakan bahawa lebih daripada tujuh juta rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan susulan penutupan operasi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akibat PKP.

Medac  berkata, tinjauan yang dilakukannya menganggarkan kira-kira 580,000 perniagaan yang mewakili 49 peratus sektor PKS dijangka terpaksa gulung tikar sekiranya tidak dibenarkan untuk beroperasi menjelang Oktober ini. Ini tentu berita tidak menggembirakan.

Apabila sektor ekonomi dan perniagaan terjejas, maka ini memberi kesan langsung kepada pekerja. Dilaporkan sebelum ini, 800,000 hilang pekerjaan gara-gara Covid-19 dan PKP.

Setiap tahun ratusan ribu keluar dari institusi pengajian tinggi. Di manakah mereka ini hendak mencari pekerjaan apabila banyak syarikat terjejas? Jumlah pengangguran dalam kalangan siswazah semakin meningkat. Semakin sukar untuk mereka mendapatkan pekerjaan.

Persekitaran ekonomi kurang memberangsangkan pada 2020 dan kesannya kepada kedudukan pasaran buruh menyebabkan bilangan siswazah menganggur meningkat ketara sebanyak 22.5 peratus kepada 202,400 orang, atau 37,200 orang kepada 202,400 orang. Kadar pengangguran siswazah pada 2020 naik sebanyak 0.5 mata peratus kepada 4.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Ada siswazah yang terpaksa melakukan pekerjaan yang tiada kaitan dengan bidang pengajian mereka. Malah, mereka sanggup menerima gaji yang jauh lebih rendah. Bukan tidak ada yang tidak menggunakan ijazah yang diperoleh ketika memohon pekerjaan sebaliknya sijil lebih rendah.

Bayangkan kesannya kepada keluarga jika ketua keluarga sudah hilang pekerjaan, lebih-lebih lagi jika seluruh keluarga hanya bergantung pada kepala keluarga untuk menyara hidup?

Apabila PKP dilaksanakan, banyak syarikat dan kilang ditutup. Antara yang terpukul teruk ialah sektor  pelancongan, pengangkutan dan restoran. Mereka yang terbabit dalam sektor ini, terpaksa menelan pil pahit apabila sempadan ditutup dan kedai atau restoran tidak dibenarkan beroperasi. Ini tentunya menjejaskan pendapatan mereka.

Ada majikan yang tidak lagi dapat menanggung kerugian, dan terpaksa melepaskan pekerja walaupun dengan hati berat. Apabila pekerja hilang pekerjaan, mereka juga tiada pendapatan. Berapa lamakah mereka dapat bergantung  pada wang simpanan?

Pandemik menyebabkan berlakunya ketidakstabilan ekonomi, penurunan paras gaji, lonjakan kadar pengangguran serta  majikan mengecilkan kos operasi, kalaupun tidak menutup terus operasi untuk mengelakkan kerugian semakin teruk.

Tentu apabila sudah hilang pekerjaan, pendapatan juga terputus. Bagi yang tidak mempunyai simpanan besar, tentu akan cukup terasa. Ingat, begitu banyak yang mempunyai simpanan yang hanya membolehkan mereka bertahan kurang daripada tiga bulan.

Kehilangan pekerjaan atau penurunan pendapatan menyebabkan semua golongan terjejas, tidak kira T20, M40 atau B40 walaupun tidak dinafikan yang paling terjejas ialah golongan B40.

Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 menunjukkan kumpulan B40 pada tahun 2019 merangkumi kira-kira 2.91 juta isi rumah, M40 membabitkan 2.91 juta isi rumah dan kira-kira 1.46 juta isi rumah berada dalam kumpulan T20. Kategori B40 boleh diperincikan kepada B1, B2, B3 dan B4; M40 kepada M1, M2, M3 dan M4 manakala T20 kepada T1 dan T2.

Bagi kumpulan isi rumah B40, mereka yang berpendapatan bawah RM2,500 boleh diletakkan dalam kategori B1, RM2,501 hingga RM3,169 dalam B2, RM3,170 hingga RM3,969 pula dalam B3; manakala RM3,970 hingga RM4,849 adalah di bawah B4.

Bagi kumpulan M40, M1 ialah isi rumah berpendapatan antara RM4,850 hingga RM5,879; M2 untuk berpendapatan dari RM5,880 hingga RM7,099; M3 untuk RM7,110 hingga RM8,699; dan M4 pula berpendapatan antara RM8,700 hingga RM10,959.

Bagi T20, isi rumah yang berpendapatan antara RM10,961 hingga RM15,039 adalah dalam kategori T1; manakala T2 dengan isi rumah berpendapatan RM15,040 dan ke atas.

Kumpulan M40 yang kehilangan pekerjaan dan mempunyai tanggungan kewangan besar seperti pinjaman rumah atau kereta sebenarnya menghadapi situasi serupa dengan golongan B40, malah T20.  Malah, bukan mengejutkan ada daripada kalangan T20 jatuh ke B40. Kita perlu sedar kadar miskin tegar  di negara ini juga meningkat dari 5.6 peratus pada 2019 kepada 8. 4 peratus pada 2020. Inilah realiti pahit yang perlu diterima bahawa hari tidak semestinya sentiasa cerah. Itulah orang tua pernah berpesan, sediakan payung sebelum hujan.

Tidak ada yang tidak terkena tempias kecuali penjawat awam dan mereka yang bekerja di syarikat ternama. Hakikatnya, semua golongan terjejas kualiti hidup dan kelangsungan hidup mereka disebabkan pandemik yang telah kita lalui lebih setahun setengah.

Mereka mempunyai komitmen tetap seperti pinjaman kereta dan rumah, selain pinjaman-pinjaman lain.  Disebabkan sudah kehilangan pekerjaaan, ada yang terpaksa bergantung pada simpanan dalam bank atau saham lain. Tetapi bagaimana dengan yang tidak mempunyai simapan mencukupi?

Ya, mereka yang bagai kais pagi makan pagi,  kais petang makan petang, khususnya golongan B40 paling bawah, termasuk yang bekerja sendiri. Memang, sebahagiannya dapat mencari sumber pendapatan lain atau pekerjaan lain, tetapi ada yang buntu fikiran dan tidak mendapat sebarang peluang pekerjaan walaupun pelbagai ikhtiar diambil. Golongan inilah yang paling terseksa, sedangkan anak isteri perlu diberi makanan. Dapur perlu dipastikan supaya berasap.

Dalam keadaan demikian tidak hairanlah, ada yang tidak dapat menanggung beban hutang sehingga diisytiharkan muflis.  Dan, ada yang meragut nyawa sendiri.

Dewan Rakyat dimaklum minggu ini, sebanyak 10,317 individu diisytihar muflis sepanjang tempoh  PKP mulai Mac 2020 hingga Julai 2021 susulan pandemik Covid-19. Selain itu, jumlah syarikat yang gulung tikar sepanjang tempoh itu adalah sebanyak 1,246 kes.

Bagi menangani masalah kewangan yang dihadapi oleh golongan yang terjejas itu, kerajaan telah menghulurkan pelbagai pakej bantuan.  Persoalannya, sampai bilakah kerajaan dapat terus membantu ketika pendapatan dan kewangannya juga terjejas?

Seyogia diingatkan, tidak ada mana-mana kerajaan di dunia akan dapat terus-terusan dapat menghulurkan bantuan kewangan dalam jumlah membabitkan berbilion-bilion ringgit.

Kita harap dan berdoa agar pandemik ini segera berlalu. Persoalannya,m adakah sinar di hujung terowong dalam waktu yang terdekat?

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru