Friday, October 22, 2021

KJ: Tiada kes kematian akibat  vaksin Covid-19 di Malaysia

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Ekoran dakwaan tidak beras melalui media sosial, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan tiada kematian akibat vaksin Covid-19 direkodkan di Malaysia setakat ini.

Menurut beliau di Dewan Rakyat hari ini, jumlah kes yang mengalami kesan sampingan serius akibat vaksin juga “sangat rendah”.

Jelasnya,  Kementerian Kesihatan (KKM) akan memuat naik data mengenai kesan sampingan serius pengambilan vaksin ke laman sesawangnya hari ini.

“Hari ini, kita akan memuat naik ke laman sesawang berkenaan kesan sampingan vaksin Covid-19 supaya rakyat dapat lihat kesan sampingan serius tidak banyak dan setakat ini tiada kematian disebabkan vaksin Covid-19,” katanya di Dewan Rakyat.

Khairy  menjelaskan, 94.3 peratus golongan dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat ini manakala 87.6 peratus sudah menerima dos vaksin lengkap.

Sementara itu, jumlah kes harian di negara ini terus memperlihatkan trend menurun termasuk merekodkan  8,075 kes hari ini.

Lima hari lalu,  Kementerian Kesihatan (KKM)  berkata, siasatan terhadap dakwaan seorang aktivis mengenai kematian lima remaja yang dikatakan selepas mendapat suntikan vaksin di Perak, Sabah dan lokasi yang tidak dimaklumkan, adalah tidak benar.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata pihaknya mengambil maklum dengan klip video yang tular semalam yang turut menyentuh kemasukan dua remaja ke sebuah hospital selepas mengalami kesan samping susulan suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja itu berkata, dua remaja berusia 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di Ipoh, Perak, meninggal dunia sebelum mereka menerima suntikan vaksin.

Sehari sebelum  kenyataan itu, polis  menyatakan telah membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan dua pelajar sebuah sekolah di negeri ini yang dikatakan meninggal dunia disebabkan suntikan Vaksin Covid-19.

Dakwaan tersebut tular di media sosial menerusi video berdurasi satu minit 38 saat yang dirakam dalam sebuah majlis dipercayai diadakan sebagai tanda tidak menyokong langkah kerajaan mengenakan pengambilan vaksin kepada pelajar sekolah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

Katanya lagi, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam

Secara Rawak

Artikel Terbaru