Friday, October 22, 2021

Tiga lelaki ditangkap penyalahgunaan dadah di Bau

Mesti baca

BAU: Ketangkasan pihak polis telah berjaya memberkas seorang lelaki yang cuba melarikan diri dalam satu serbuan di Kampung Tasik Biru, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Supritendan, Poge Nyaon berkata, suspek berkenaan antara tiga individu yang ditahan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan berusia 23,26 dan 36 tahun berasal dari Kampung Mentung Birawan, Serian, Kampung Tasik Biru dan Kampung Skibang, Bau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika pemeriksaan, salah seorang suspek cuba melarikan diri namun ketangkasan pasukan operasi berjaya memberkas suspek berkenaan di belakang rumah tersebut.

“Suspek yang berjaya diberkas ternyata kelihatan dalam keadaan gelisah dan apabila diperiksa tubuh badan, suspek telah menyerahkan satu peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu kepada pasukan serbuan.

“Suspek ini juga dikesan positif dadah hasil ujian saringan awal air kencing,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara, Poge berkata, pemeriksaan terhadap dua lagi suspek yang ditahan di tempat yang sama tidak menemui sebarang dadah berbahaya.

Walaubagaimanapun, katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek ini bergiat aktif dalam pengambilan dadah atas pengaruh rakan dan dadah yang diperolehi dibeli melalui rakan lain.

“Manakala, semakan rekod lampau mendapati salah seorang dari suspek dikesan mempunyai kesalahan lampau,” katanya.

Poge berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Secara Rawak

Artikel Terbaru