Wednesday, June 29, 2022

Op cari pemancing dalam bot karam diteruskan

Secara Rawak

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak telah mengaktif operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) bagi mengesan bot dan pemancing yang dilaporkan karam di perairan Pulau Satang pada jarak lebih kurang 2 batu nautika, semalam.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching telah mengaktifkan Op Carilamat setelah menerima laporan berhubung kejadian menerusi panggilan kecemasan kira-kira jam 12.22 tengah hari.

Katanya, Bot Penyelamat 8 yang sedang beroperasi di sekitar perairan Santubong telah diatur gerak ke lokasi kejadian yang berada 11 batu nautika dari Pulau Satang Besar.

“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Jeti Awam Telaga Air dan MRSC Kuching turut memaklumkan insiden kejadian kepada agensi sahabat serta menyalurkan maklumat kepada Ketua Kaum di Kampung Telaga Air.

“Sektor pencarian memfokuskan pencarian 2 batu nautika sehingga 20 batu nautika dari perairan Pulau Satang,” katanya dalam satu kenyataan.

Zin Azman berkata, MRSC Kuching telah mengkoordinasikan Op Carilamat bersama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan melibatkan 20 pegawai dan anggota petugas di lokasi kejadian.

Katanya, empat aset laut terlibat dalam operasi iaitu Penyelamat 8 Maritim Malaysia, dua buah aset PPM PSC 11 dan PA 1 serta sebuah aset JBPM.

Jelasnya, keadaan laut dan cuaca di lokasi kejadian sedikit bergelora dengan kelajuan angin 20 hingga 30 km/jam dan ketinggian ombak 1.5 hingga 2 meter.

Katanya, Op Carilamat telah ditangguhkan pada jam 6.30 petang setelah tiada sebarang petunjuk ditemui dan akan diteruskan semula pada jam 7.00 pagi hari ini.

Mangsa bot karam masih belum ditemui adalah Amri Abdullah, Mohd Asri Ibrahim, Muhammad Redzuan Rasul, Zaharudin Yusoff, Mohamad Fariz Azizan, Mohd Firdaus Bin Mohd Denan, Rais Yahya serta pembantu tekong bot, Awang Omar Bin Awang Hamsawi dan kapten bot, Baki.

Dalam pada itu, katanya, Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk.

“Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini kurang baik terutamanya musim Monsun Timur Laut bermula dari bulan Oktober 2021 hingga Mac 2022,” ujarnya.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 yang beroperasi 24 jam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru