Thursday, December 9, 2021

Hospital Medan ATM Sibu beroperasi 15 Oktober ini

Secara Rawak

SIBU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mewujudkan sebuah hospital medan di sini bagi meringankan beban tugas kakitangan Hospital Sibu.

Briged Kesembilan Infantri Malaysia berkata, Hospital Medan Sibu ini ini dijangka siap pada 15 Oktober dan aturgerak awal akan bermula pada 7 Oktober nanti Holding Bay Area akan menempatkan sementara pesakit sebelum mereka mendapatkan wad.

“Penubuhan hospital medan ini bertujuan untuk membantu pihak Hospital
Sibu menguruskan pesakit bukan kes Covid-19 sekaligus meringankan tugas staf
perubatan di Hospital Sibu.

“Kerja-kerja pembersihan dan persiapan penubuhan Hospital Medan Sibu ini telah diaturgerak dan diketuai oleh Timbalan Komander Rejimen 510 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Ahmad Halim Mohd Rosli selaku Ketua Tim Persiapan Hospital Medan Sibu
serta 10 orang anggota dari Rejimen 510 Askar Wataniah,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, pembinaan hospital ini mempunyai empat fasa iaitu fasa pertama penubuhan Holding Bay Area di parkir Zon 5 serta kerja-kerja pemasangan lima buah khemah jenis TM36 dan Holding Bay ini akan diselia sepenuhnya oleh kakitangan Hospital Sibu.

Katanya, fasa kedua ialah menyusun atur kedudukan khemah dan penempatan 100 buah
katil yang dikoordinasikan oleh pihak Hospital Sibu.

Tambahnya, fasa ketiga ialah pembukaan Hospital Medan Sibu yang dijangka akan beroperasi secara rasmi pada 15 Oktober dan akan diaturgerak sepenuhnya oleh staf perubatan dari 1 Batalion Ubat.

“Bagi fasa keempat pula ialah penarikan Hospital Medan Sibu yang akan dilaksanakan
setelah kes semakin berkurangan dan sehingga Hospital Sibu mampu untuk
mengendalikan pesakit seperti sediakala,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, persiapan ini bersesuaian dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 dalam tonggak kelima iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat
dengan Awam.

“Persiapan tersebut juga telah dilaksanakan secara norma baharu dengan penglibatan pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang minimum dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Komitmen ATM serta kerjasama dengan pelbagai agensi lain akan diteruskan bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa dilindungi seterusnya membantu negara dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ini,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru