Friday, October 22, 2021

Agih kerusi: Hak dalaman PN, BN tak pernah mohon disertakan dalam rundingan

Mesti baca

KUALA LUMPUR:  Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berpandangan soal pengagihan kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sepertimana yang diperkatakan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin ialah hak dan hal dalaman Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau tanpa terlalu egois, sebenarnya Barisan Nasional (BN) pun tidak pernah memohon untuk menjadi sebahagian perundingan bersama PN malah ketetapan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu ialah tidak akan bekerjasama dengan PPBM untuk PRU-15.

“Itu adalah hak PN untuk buat dan tanpa saya bernada terlalu egois sebenarnya BN pun tidak pernah memohon untuk menjadi sebahagian daripada perundingan bersama dengan PN. Ketetapan yang mutlak dan jelas PAU (Perhimpunan Agung UMNO) yang mana ketetapan itu belum diubah iaitu kita tidak akan bekerjasama dengan PPBM untuk PRU-15.

“Jadi kita terikat kepada perkara tersebut. Justeru kalau PN nak bincang itu adalah pendirian dan hak mereka sepertimana pendirian dan hak BN untuk melaksanakan ketetapan dan keputusan yang telah dibuat,” katanya seperti dilapor Umno Online.

Memetik laporan, parti komponen PN telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU15 dengan segera.

Muhyiddin dilaporkan berkata PN akan meneruskan rundingan pembahagian kerusi dan mengadakan mesyuarat mulai minggu hadapan walaupun masih tidak mendapat sebarang gambaran daripada UMNO atau BN.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia seterusnya menambah cumanya mungkin persoalan timbul dan memerlukan sedikit penjelasan daripada sahabat dalam Muafakat Nasional (MN) iaitu PAS berkaitan pendirian mereka setelah memasuki era pengagihan kerusi.

“Cuma di sini saya fikir mungkin perlu sedikit pencerahan adalah daripada sahabat kita dalam MN di mana selama ini kita melihat bahawa PAS tidak mahu memilih antara PN dan juga MN yang mana PAS menjadi anggota kedua-duanya,” katanya.

“Saya fikir mungkin selama ini kedudukan itu tidaklah terlalu membawa sebarang isu yang kritikal tetapi bila masuk ke era pengagihan kerusi, saya rasa pendirian itu perlu dijelaskan secara hakiki… akan tiba satu ketika di mana persoalan yang mana satu yang nak diutamakan oleh pihak Pas” katanya lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru