Friday, October 22, 2021

Rokok, minuman keras: Lelaki di Kuching ditahan

Mesti baca

KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan terhadap penemuan rokok dan minuman keras pelbagai jenis tidak bercukai di sebuah premis berhampiran pusat komersial TT3, Jumaat lalu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPM W5) Sarawak Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali berkata, suspek yang juga mengaku sebagai pemilik premis ketika disoal siasat ketika serbuan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran menyimpan atau milikan rokok dan minuman keras tersebut.

“Semasa menjalankan tugas Op Kontraban dengan menggunakan tiga buah kenderaan PDRM telah membuat pemeriksaan terhadap sebuah premis yang disyaki terlibat dengan penyeludupan barangan tidak bercukai.

“Hasil pemeriksaan menjumpai pelbagai jenis rokok putih dan kretek beserta minuman keras pelbagai jenama disimpan di dalam premis berkenaan.

“Kesemua barangan terbabit yang dianggarkan bernilai lebih RM800,000 dirampas untuk tindakan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu katanya, serbuan dijalankan hasil risikan yang telah dibuat oleh pegawai dan anggota Unit Risik Marin Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Kuching.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan siasatan lanjut.

Secara Rawak

Artikel Terbaru