Friday, October 22, 2021

Ejen judi Mega888 rugi besar didenda RM10,000

Mesti baca

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistreet hari ini, atas kesalahan menjalankan kegiatan judi dalam talian.

Hakim Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh 27, selepas mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibaca di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sedang berdiri di belakang sebuah premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian jenis Mega888 dan menjual loteri haram sekitar jam 6.25 petang, 20 Julai lepas.

Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM10,000 hingga RM100,000 jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, sepasukan polis telah membuat intipan dan serbuan di belakang sebuah premis berdekatan Lee Ling Commercial Centre.

Hasil pemeriksaan telah berjaya menahan seorang lelaki yang dipercaya menjaga premis jualan loteri haram.

Tertuduh kemudian ditahan dan barang-barang kes turut dirampas seperti seunit telefon pintar jenama VIVO dan HUAWEI, sekeping wang kertas bertulis ID dan kata laluan serta wang tunai bercampur berjumlah RM2,580.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Secara Rawak

Artikel Terbaru