Friday, October 22, 2021

Kerjasama China-Sarawak masih terus maju

Mesti baca

KUCHING: China dan Sarawak secara aktif meneroka kaedah pertukaran dan kerjasama di bawah norma baru pencegahan dan kawalan wabak Covid-19, dan telah melakukan pertukaran fleksibel dalam pelbagai bidang secara dalam talian.

Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Cheng Guangzhong berkata kerjasama antara Sarawak dengan tiga wilayah dan 26 bandar di China masih terus maju dengan mengatasi kesukaran yang disebabkan oleh pandemik.

“Projek hidroelektrik Baleh yang dibina oleh China Energy Engineering Gezhouba Group sedang dalam pembinaan mengikut jadual walaupun terdapat banyak kesulitan.

“Yang paling saya ingat adalah sokongan bersama antara China dan Sarawak dalam memerangi wabak Covid-19, dengan banyak bekalan pencegahan yang sangat diperlukan dihantar ke pergunungan dan laut kepada barisan hadapan.

“Malah banyak persidangan video diadakan untuk berkongsi maklumat dan pengalaman,” katanya dalam amanat sempena Sambutan Hari Kebangsaan China Ke-72 yang diadakan secara dalam talian semalam.

Justeru, beliau berkata pihaknya sangat berharap dapat terus bekerjasama dengan Sarawak untuk meningkatkan kerjasama dalam banyak bidang dan mewujudkan masa depan yang sejahtera bersama-sama.

Dalam pada itu, Guangzhong berkata selama 47 tahun sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara China dan Malaysia, hubungan kerjasama mesra China-Malaysia telah mencapai perkembangan jangka panjang dan telah menjadi jiran, rakan serta rakan kongsi yang baik.

Katanya sehingga penghujung Ogos tahun ini, jumlah perdagangan antara China dan Malaysia mencapai 108.2 bilion USD, meningkat sebanyak 35.2 peratus.

“China bersedia bekerjasama dengan Malaysia untuk terus mempromosikan Inisiatif “Belt and Road”, memperkukuhkan hubungan antara satu sama lain, mempererat kerjasama ekonomi dan meningkatkan hubungan persahabatan ke tahap yang baru,” katanya.

Guangzhong juga berkata pencapaian besar China tidak akan dapat dicapai tanpa sumbangan daripada orang Cina di luar negara, termasuk orang Cina Malaysia.
Bahkan, katanya kemajuan hubungan China-Malaysia tidak mungkin dapat dilakukan tanpa dedikasi masyarakat Cina di Sarawak.

“Konsulat Jeneral China di Kuching akan seperti biasa, menyokong masyarakat Cina di Sarawak dan berharap anda akan terus menyokong kerjasama China-Malaysia.

“Saya percaya dengan usaha bersama kita, kerjasama yang saling menguntungkan antara China dan Sarawak akan meningkat ke tahap yang baru,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru