Friday, October 22, 2021

Gunakan pendekatan pembangunan berasaskan wilayah, kata Abang Johari

Mesti baca

KUCHING:  Ketua Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan perlu  mengubah pendekatan perancangan pembangunan ekonomi  di negara ini dengan menggunakan pendekatan berasaskan wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Ketika ini menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pendekatan ekonomi masih menggunakan pendekatan lama yang membahagikan peruntukan pembangunan mengikut negeri-negeri.

Jelasnya, kelainan pendekatan itu perlu kerana saiz negeri Sarawak  berbeza daripada Semenanjung kerana saiz Sarawak yang  besar.

“Struktur ekonomi Sarawak berasaskan sumber dan keunikan yang memerlukan pendekatan berbeza berasaskan kepada sumber dan keunikan” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau projek pembinaan bangunan Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang di sini, semalam ketika diminta mengulas pengumuman berkenaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lepas.

“Jadi pendekatan ekonomi kita mesti berteraskan wilayah dan ia berlainan kalau mengikut negeri kita. Contohnya, daerah Baram saja seluas negeri Pahang,” katanya.

“Maka pendekatan pembangunan ekonomi perlu berbeza,” jelasnya lagi.

Dalam pengumuman RMK12, Ismail Sabri antara lain turut berkata kerajaan Persekutuan komited untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak dalam MA63, termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru