Friday, October 22, 2021

Orang lain makan nangka, orang lain yang kena getah

Mesti baca

PADAWAN: Gara-gara jiran meminjam wang dari along, seorang lelaki di sini turut menjadi mangsa apabila keretanya disimbah cat.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan, Supritendan Aidil Bolhassan, kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Taman Banjaran Serapi, Jalan Sungai Tengah di sini, kira-kira jam 5.15 pagi semalam.

Beliau berkata, isteri mangsa yang hendak turut bekerja ketika itu menyedari bahagian bonet hadapan serta tayar hadapan kereta Perodua Viva milik mangsa yang tidak digunakan selama setahun telah disimbah cat berwarna merah jambu.

Katanya, tempat kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi bebas yang melihat kejadian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa, 51 tahun turut mendapati terdapat satu salinan notis yang ditinggalkan di hadapan pintu pagar mangsa dengan perkataan yang ditulis dalam bahasa Melayu.

“Hasil semakan oleh mangsa sendiri mendapati nama yang ditulis dalam notis tersebut adalah merupakan nama anak kepada jiran mangsa.

“Sebelum kejadian, mangsa mengatakan pada 13 September lepas juga telah disimbah cat warna yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Aidil berkata, mangsa telah dimaklum oleh jirannya bahawa anak perempuan mereka telah berhutang dengan along melalui aplikasi Facebook sebanyak RM300.

Susulan itu, katanya, mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, berita ini melaporkan seorang suri rumah berusia lewat 20 an telah membuat laporan polis yang disiasat di bawah Seksyen 29 B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Laporan polis itu dibuat wanita terbabit berikutan bimbang keselamatan diri dan ahli keluarganya diganggu along.

Pada 13 September lalu, kira-kira jam 11.30 malam, wanita tersebut mendapati cermin rumahnya dipecahkan dan disimbah cat berwarna merah serta pagar rumahnya dikunci.

Wanita tersebut mengesyaki perbuatan tersebut dilakukan oleh along kerana pernah meminjam wang sebanyak RM300 dari along secara dalam talian melalui Facebook namun tidak mampu membuat pembayaran yang diminta sebanyak RM8,600.

Polis masih meneruskan siasatan berhubung kes ini.

Secara Rawak

Artikel Terbaru