Belanjawan 2022: Perlu fokus pemulihan ekonomi, tangani kebajikan rakyat

0
3

BINTANGOR: Menteri Muda Hal Ehwal Korporat & UKAS, Abdullah Saidol berharap belanjawan negara yang akan dibentangkan Perdana Menteri dalam persidangan Parlimen akan memberi fokus ke arah pemulihan ekonomi terutama industri kecil sederhana.

Jelas ADUN Semop itu, bajet kali ini juga perlu memberi keutamaan terhadap menangani isu kebajikan masyarakat terjejas ketika negara sedang mengalami pandemik COVID-19.

“Saya yakin Kerajaan Sarawak akan merangka struktur belanjawan negeri yang turut menjurus ke arah pemulihan aktiviti-aktiviti ekonomi serta membantu meringankan beban masyarakat yang terkesan oleh pandemik tanpa mengabaikan tanggungjawab untuk menyalurkan peruntukan bagi projek-projek infrastruktur asas serta kemudahan awam terutama di kawasan luar bandar.”

Abdullah diminta mengulas demikian selepas melakukan lawatan kerja dan upacara ringkas penyerahan sumbangan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung di Dewan kecil Surau Darul Ehsan, Kampung Melayu Bintangor pada Ahad.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri membuat keputusan membenarkan JKKK untuk melaksanakan projek kecil dan sederhana di kampung masing-masing menggunakan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) wakil rakyat.

Ujarnya, setiap JKKK juga bertanggungjawab melaporkan tentang pelaksanaan projek berkenaan dan mempastikan peruntukan digunakan sepenuhnya untuk projek tersebut.

“Saya harap JKKK akan lebih bertanggungjawab dan telus dalam pengurusan MRP yang masuk dalam akaun JKKK mereka,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Meradong, Badjuri Bidin berkata pihaknya akan memantau pelaksanaan projek berkenaan dari masa ke semasa.

Penerima peruntukan MRP dalam majlis tersebut adalah JKKK Kampung Tanjung Bundong (RM6,500), JKKK Kampung Muhibbah (RM22,400), JKKK Kampung Gelam (RM34,700) dan JKKK Kampung Abg Amin (RM70,700).

Dalam program yang sama, Abdullah turut menyampaikan peruntukan MRP kepada JKKK Rumah Panjang Wun sebanyak RM2,340 dan JKKK Rumah Panjang Anggok sebanyak RM3,500 untuk pembelian pelbagai barangan keperluan masyarakat di dua rumah panjang tersebut.