Monday, October 25, 2021

Mungkinkah PN Sarawak bertembung dengan GPS dalam PRN-12?

Mesti baca

Perikatan Nasional (PN) Sarawak pada 18 Sept lalu mengumumkan pembentukan Perhubungan Negeri PN Sarawak. Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian dari Bersatu dilantik sebagai pengerusinya. Apakah muslihat dan tujuan pembentukan badan perhubungan negeri itu?

Dalam kenyataan awalnya, Jaziri menjelaskan kehadiran PN di Sarawak adalah bagi memperkukuh dan saling melengkapi. Jaziri menegaskan bahawa kehadiran PN bukan untuk memberi saingan kepada GPS, sebaliknya bagi memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Bagai menyedari kebimbangan dan kerisauan yang tercetus daripada kewujudan PN, beliau sejak awal April 2021 lagi menjelaskan, PN tetap akan menyokong kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Oleh itu, tegasnya, GPS tidak perlu ragu dan curiga dengan kehadiran PN di Sarawak. Sebab, kehadiran PN bertujuan menyokong serta membantu GPS dan bukan untuk berlawan atau mengambil alih kepemimpinan negeri itu.

“Kita tidak pernah fikirkan jumlah kerusi yang akan ditandingi pada pilihan raya, sebaliknya Bersatu tetap dengan pendirian untuk menyokong serta membantu GPS,” jelasnya pada awal Feb 2021.

Sementara itu, pada awal April juga, sebelum berlakunya peralihan kuasa, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin – ketika mengunjungi Kuching, berkata PN khususnya Bersatu dan Pas, akan memberi sokongan padu kepada GPS pada pilihan raya negeri akan datang.
Beliau berkata, soal kerusi untuk ditandingi di Sarawak bukan keutamaan kepada PN kerana yang paling penting ialah memastikan GPS terus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti yang kukuh.

Meskipun terdapat penegasan pendirian bahawa ia tidak akan melawan GPS — yang terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP — dalam PRN-12 akan datang. Tetapi tidak demikian bagi GPS. Ya, setidak-tidaknya kalau kenyataan Naib Presiden PBB, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dijadikan sandaran.

Lagipun, pada awal April 2021 juga, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Zuraida Kamaruddin menyatakan supaya partinya dapat bertanding di bawah panji GPS. Kenyataan Zuraida itu tidak sampai ke mana-mana kerana ia terus ditangkis oleh beberapa pemimpion GPS. Ia sebenarnya mencetuskan kekeliruan dan keraguan tentang keikhlasan Bersatu.

Apakah agenda dan matlamat penubuhan Perhubungan Negeri PN di Sarawak? Bukankah ini merupakan strategi untuk mengukuhkan kedudukannya di negeri ini?

Ini membuktikan bahawa di sebalik jaminan diberi Jaziri, pasti tercetus keraguan dan kesangsian di pihak GPS akan tindak-tanduk yang bakal diambil oleh PN Sarawak nanti. Justeru, memang wajar jika GPS lebih berhati-hati dengan gerak langkah PN di Sarawak.

Karim menegaskan parti-parti politik yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia perlu belajar daripada Umno untuk tidak bertapak dan melebarkan sayapnya ke negeri ini. Sejak beberapa tahun, Umno sangat menghormati parti Sarawak. Meskipun terdapat usaha oleh pelbagai pihak untuk membawa Umno ke Sarawak sejak 1960-an lagi sehinggalah awal abad ini, namun segala usaha itu bagai menemui hambatan.

Malah, terdapat perjanjian budiman antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak dengan pemimpin negeri bahawa Umno tidak akan melebarkan sayapnya ke Sarawak. Hakikatnya, Umno memang tidak popular di Sarawak. Ini bukan persepsi, tetapi satu realiti.

Berdasarkan kajian saya sekitar lapan tahun lalu, daripada 10,000 responden pelbagai kaum, dari Lundu hingga ke Lawas, 92 peratus penduduk tidak bersetuju Umno bertapak di Sarawak. Karim menegaskan GPS tidak akan menyokong parti lain dari Semenanjung Malaysia, walaupun mereka rakan dan di Parlimen menyokong mereka.

Hakikatnya, GPS bukan entiti formal PN di peringkat nasional. Sokongan GPS kepada PN bermula dengan kepemimpinan Muhyiddin, kemudian kepada Datuk Seri Ismail Sabri adalah demi kestabilan politik negara bagi membolehkannya mendepani krsisi kesihatan dan ekonomi yang melanda negara.

Tegasnya, GPS hanya mesra PN, dan bukannya sebagai komponen entiti rasmi di bawah gabungannya. Yang dirisaukan Karim mungkin ada kewajarannya.

GPS tentu tidak mahu Bersatu atau Pas tiba-tiba menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen nanti. Jika Bersatu dan Pas mahu GPS terus menyokong PN di peringkat nasional menjelang dan selepas PRU-15 nanti terutamanya, ia harus diberi sokongan padu oleh kedua-dua parti berkenaan.

Hakikatnya, tidak semudah itu, setidak-tidaknya untuk Bersatu. Ketika ini, terdapat dua kerusi Parlimen Bersatu, iaitu Puncak Borneo dan Saratok, dan satu kerusi DUN. Adakah mungkin Bersatu akan hanya berdiam diri menjelang pilihan raya nanti dengan membiarkan GPS bertanding di kerusi berkenaan?

Itu tidak mungkin berlaku. Pasti Bersatu mahu mempertahankan kerusi berkenaan, malah pasti mahu mengukuhkan kedudukannya, dengan menambah jumlah kerusi. GPS pula pasti mahu bertanding dan merampas balik kerusi berkenaan. Di sinilah letaknya inti permasalahan dalam konteks hubungan PN-GPS.

Mungkinkah kedua-dua belah pihak akan berkompromi? Kalau ya, apakah bentuk kompromi? Ketika Muhyiddin tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tentu lebih mudah untuk GPS mendesak Perdana Menteri supaya Bersatu tidak bertanding di Sarawak jika beliau mahu GPS memberi sokongan kepada parti didukungnya nanti.

Seyogia diingatkan, sejak awal lagi GPS menegaskan pendiriannya bahawa, ia mahu bertanding di semua 82 kerusi DUN dan 31 kerusi Parlimen. Maksudnya, GPS tidak akan mahu berkompromi dan membuka sebarang ruang untuk PN bertanding di mana-mana kerusi. Mungkinkah Bersatu akan bertegas mahu juga bertanding di Sarawak nanti?

Jika itu berlaku, tentu ini sesuatu yang menarik untuk diperhatikan. Akan berlaku pertembungan terbuka antara PN dan GPS sekali gus akan memberi implikasi terhadap hubungan antara parti berkenaan selepas pilihan raya itu nanti.

Tetapi, terus terang, peluang untuk PN — baik Bersatu mahupun Pas — untuk menambah jumlah kerusi di Sarawak hanya akan tinggal impian. Dengan jentera akar umbi yang lemah di Sarawak, khususnya bagi Bersatu, sukar untuknya menambah kerusi. Kalau itu berlaku, Bersatu tentu akan bertanding bukan sahaja di kawasan Melayu dan Melanau, tetapi juga kawasan Dayak.

Dalam PRU-14 lalu, Bersatu hanya memenangi 13 kerusi, tetapi kemudiannya diperkuat dengan 15 ahli parlimen Umno yang menjadi katak politik. Untuk PRU-15, Bersatu dijangka sukar bertahan, dan memperlihatkan prestasi yang sama. Kalau sebelum ini pun ia hanya mampu memenangi 13 kerusi, dalam keadaan politik yang panas dan bergelora, apakah faktor yang akan merangsang pengundi untuk mengundi parti itu nanti? Umno dijangka akan dapat menambah kerusinya.

Bagi Pas, saya pernah sejak 15 tahun lalu meramalkan sukar untuk parti itu memenangi kerusi dalam tempoh 40 tahun. Jadi, maksudnya, dalam 25 tahun lagi pun, kelihatannya sukar untuk parti Islam itu untuk mendapatkan kerusi. Sebabnya, ideologi yang diperjuangkannya tidak begitu serasi dengan cita rasa politik orang bumiputera, termasuk Melayu di Sarawak.

Kalaupun Pas dan Bersatu bertanding nanti, sebenarnya, musuh utama GPS bukan parti berkenaan. Dijangkakan, pesaing utama GPS ialah DAP dan PSB. PKR sudah hilang taringnya selepas perpecahan teruk berlaku pada 2020, dan kehilangan pemimpin utama seperti Baru Bian.

Sebarang percaturan PN Sarawak, perlu dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya. Jangan sampai dapat mengeruhkan hubungan dengan GPS, dan seterusnya memberi kesan kepada hubungan politik selepas itu. Maksudnya, kalau menyokong biarlah menyokong dengan ikhlas dan sesungguhnya. Bukannya, cakap lain buat lain dengan mengatur strategi lain dari belakang.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru