Friday, October 22, 2021

Tiga lelaki khayal di Bau ditangkap polis

Mesti baca

BAU: Polis menangkap tiga lelaki yang sedang khayal di bawah pengaruh dadah dalam satu serbuan di sebuah pondok di Kampung Nowang, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, ketiga-tiga suspek tidak menyedari kehadiran polis semasa serbuan kira-kira jam 10.15 pagi.

Katanya, kesemua suspek berusia 22, 32 dan 42 tahun berasal dari Kampung Grogo, Nowang dan Stenggang.

“Hasil pemeriksaan, seorang suspek berusia 22 tahun yang berada dalam keadaan gementar telah menyerahkan satu plastik lutsinar berisi enam peket plastik lutsinar dalam beg sandang miliknya.

“Hasil semakan mendapati enam peket plastik tersebut berisi ketulan kristal putih disyaki dadah berbahaya dengan berat kasar 30.81 gram,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Poge berkata, pemeriksaan lanjut terhadap dua lagi suspek ditempat yang sama telah menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi dadah seberat 1.18 gram di atas meja tempat kedua-dua suspek sedang berada.

Katanya, kesemua dadah yang dirampas seberat 31.99 gram dengan anggaran bernilai RM3,100.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua suspek ini telah bergiat aktif dalam aktiviti dadah yang diperolehi dari rakan kemudian sebahagiannya untuk dijual.

“Dadah yang dirampas adalah sebahagian yang belum digunakan dan dijual,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan suspek ini telah dikesan hasil maklumat orang ramai dan tangkapan dibuat bertujuan untuk memutuskan suspek dari mempengaruhi remaja lain terlibat dalam gejala dadah.

Katanya, saringan air kencing terhadap kesemua suspek didapati positif dadah dan dipohon reman pada esok.

Kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Secara Rawak

Artikel Terbaru