Friday, October 22, 2021

Tidak mampu bayar RM8,600 setelah pinjam RM300, along simbah rumah dengan cat merah

Mesti baca

PADAWAN: Bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga, seorang wanita warga tempatan membuat laporan polis kerana diganggu along.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supritendan Aidil Bolhassan berkata, kejadian gangguan along itu dilaporkan berlaku pada 13 September lepas kira-kira jam 11.30 malam di rumah mangsa.

Katanya, mangsa, seorang suri rumah berusia lewat 20-an ketika kejadian mendapati cermin rumahnya telah dipecahkan dan disimbah dengan cat merah serta pagar rumahnya telah dikunci.

“Mangsa mengesyaki perbuatan tersebut dilakukan oleh along kerana mangsa pernah membuat pinjaman wang dalam talian melalui Facebook sebanyak RM300.

“Namun mangsa tidak mampu membuat bayaran kerana along tersebut meminta mangsa membayar sehingga RM8,600,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aidil berkata, mangsa membuat laporan polis pada 14 September berikutan bimbang keselamatan diri dan keluarga serta tindakan pihak polis selanjutnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 29 B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan jika disabit dengan kesalahan akan di denda maksimum RM250,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan sebatan jika dilakukan buat kali kedua.

Sementara, Aidil menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat pinjaman secara dalam talian melalui Facebook kerana pemberi pinjam wang tidak berlesen atau along ini menjalankan aktiviti mereka dengan berlindung di belakang syarikat pemberi pinjam wang berlesen.

Katanya, kebanyakan iklan memberi pinjam wang secara dalam talian adalah tidak wujud.

Jelasnya, sekiranya ingin membuat pinjaman, disarankan untuk pergi ke institusi bank atau syarikat pemberi pinjam wang berlesen.

Secara Rawak

Artikel Terbaru