Thursday, December 9, 2021

Sebastian Ting: Sarawak bersedia terima pelancong 

Secara Rawak

MIRI: Sarawak sudah bersedia menerima pelancong ke negeri ini selepas tidak lagi mewajibkan mereka yang datang ke Sarawak menjalani kuarantin.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting berkata, dengan tiadanya kuarantin membolehkan ramai pelancong dari dalam dan luar negara datang ke Sarawak.

Bagaimanapun, setiap pelancong perlu mengikuti syarat yang dikenakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) selepas tiada lagi kuarantin. 

“Kita di Sarawak bersedia untuk menerima kehadiran pelancong. Sudah lama sejak tahun lepas iaitu 19 bulan tidak menerima kehadiran pelancong akibat COVID-19.

“Sekarang kita bersedia menerima kehadiran mereka ke Sarawak untuk pergi ke mana-mana tempat,” katanya semasa berucap dalam Program Ziarah UKAS – Konvoi Jelajah Hari Malaysia di Kompleks Islam Sarawak Miri pada Sabtu. 

Mengulas mengenai program ini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau menyifatkan program ini suatu yang baik dalam usaha mengingati Hari Malaysia kepada golongan muda dari kumpulan bermotosikal. 

“Program ini sangat baik dan bagus walaupun COVID-19 ini masih ada. 

“Pada ketika ini tidak banyak program dan dengan adanya program sebegini sangat bagus. 

“Program ini pertama kali diadakan sebaik sahaja Bahagian Miri melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3,” ujarnya.

Konvoi yang disertai lebih 25 motosikal berkuasa besar bersama beberapa kenderaan jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak bergerak dari Kompleks Islam Sarawak Miri ke Tim’s Seaside Hideout Resort yang diiringi Polis DiRaja Malaysia (PDRM). 

Sementara itu, peserta konvoi Vicky Gulin 45 tahun ketika ditemui berterima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak yang memimpin negeri ini menjadi sebuah negeri yang aman dan sejahtera walaupun hidup dalam pelbagai kaum dan agama. 

Meskipun sekarang ini kita hidup dalam pandemik, tetapi usaha kerajaan dalam menangani penularan COVID-19 ini sangat dihargai. 

“Saya sebagai rakyat Sarawak dan Malaysia berasa gembira apabila kita tinggal di dalam sebuah negara dan negeri yang aman dan damai meskipun kita mengalami pandemik COVID-19,” katanya. 

Perasaan yang sama turut dikongsikan Hamisah Suntak, 48 tahun yang merupakan salah seorang peserta wanita konvoi bermotosikal besar yang turut sama menyertai Program Ziarah UKAS – Konvoi Jelajah Hari Malaysia. 

“Memang agak lama saya tidak mengikuti aktiviti seperti ini, tetapi apabila ada aktiviti seperti ini saya rasa bangga. 

“Sememangnya kita sebagai anak Malaysia sepatutnya berbangga menjadi rakyat Malaysia di mana negara kita aman dan seperti hari ini kita mampu melakukan aktiviti konvoi  ini bersama-sama,” katanya. 

Hadir sama Pemangku Timbalan Residen Bahagian Miri Rose Edward Tarang dan Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Mohd Yusof.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru