Saturday, October 23, 2021

Pembangunan ‘Kampung Debah’ akan diusahakan

Mesti baca

SARIKEI: Hak dan tanah milik penduduk di kampung-kampung meliputi Jalan Pengiran Kadir, Jalan Drahman Keria dan Titian Simen atau lebih dikenali sebagai ‘Kampung Debah’ di Sarikei akan terus dipertahankan dan ditambah nilai dengan perancangan jangka masa panjang yang cukup rapi.

Sehubungan itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh mahu penduduk kampung terus memberi kerjasama kepadanya dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar semua perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan untuk keselesaan dan kesinambungan pembangunan masa depan.

“Dalam itu saya memikirkan bagaimana tanah ini dapat kita pertahankan dengan penambahbaikan dari segi nilai, harga tanah atau aset ini. Jika dilepaskan, ia akan hilang dari genggaman kita.

“Saya telah mengutarakan kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi  Abang Johari Tun Openg mengenai perkara ini semasa lawatannya beberapa kali ke Sarikei,” katanya berucap dalam Program Ziarah UKAS bertempat di Surau Darul Huda Sarikei pada Sabtu.

Menurut Datu Len, beliau juga telah mengarahkan pihak Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) untuk merangka pelan janga panjang penambahbaikan di kampung berkenaan.

Katanya, LCDA telah merangka pelan induk untuk membangunkan kawasan itu dengan konsep pembangunan komersial agar nilai tanah di kawasan itu meningkat.

Antara pelan besar yang dirancang ialah pembinaan tebingan sungai sepanjang hampir dua kilometer dari Terminal 2 hingga ke Jambatan Sungai Sarikei.

Datu Len kemudiannya mengecat dinding Surau Darul Huda sebagai simbolik perasmian Program Ziarah UKAS.

UKAS yang diwakili oleh Razali Jidi turut menyampaikan sumbangan berupa sejadah, rak besi dan keperluan lain untuk kegunaan jemaah di surau tersebut.

Dalam program ini, UKAS bersama Jawatankuasa Surau yang dipengerusikan oleh KK Sihon Ujang melakukan kerja-kerja gotong-royong membersih, mengecat dan membaiki kerosakan yang ada.

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru