Friday, October 22, 2021

Wanita warga Indonesia dipenjara 7 bulan

Mesti baca

KUCHING: Seorang wanita warganegara Indonesia dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret pada Khamis, atas kesalahan mengendali kegiatan perjudian dalam talian, Febuari lalu.

Hakim Zaiton Annuar menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh A Lie A, 19, apabila mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca oleh seorang jurubahasa di hadapannya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman dijalankan bermula dari tarikh tangkapan dan diusir kembali ke negara asal selepas menjalani hukuman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mengendalikan sebuah mesin judi di Batu 4, Jalan Matang, 2 Febuari lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda RM10,000 hingga RM100,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.

Berdasarkan ringkasan kes, pada 2 Febuari lalu, sekitar jam 9.10 malam, sepasukan polis dari Cawangan JSJ IPD Padawan telah melakukan serbuan di sebuah premis makanan kerana dipercayai terdapat kegiatan judi tambah nilai secara dalam talian di tempat tersebut.

Semasa serbuan, pihak polis telah memperkenalkan diri kepada seorang wanita warga asing kemudian menjurus kepada tangkapan tertuduh.

Hasil pemeriksaan premis tersebut, mendapati telefon pintar milik tertuduh mempunyai kiosk aplikasi kegiatan judi dalam talian dan beberapa barang kes turut dirampas seperti sebuah telefon pintar, seunit mini modem, kertas, wang tunai berjumlah RM100, passport dan router wifi.

Tertuduh juga dipercayai telah berada lebih masa di negara ini kerana passport miliknya telah tamat tempoh.

Hasil laporan daripada pakar judi juga mengesahkan bahawa peralatan yang digunakan untuk mengurus serta mengendalikan kegiatan perjudian dalam talian sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 2 Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Pegawai Pendakwa ASP Hisyam Junaidi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Secara Rawak

Artikel Terbaru