Monday, October 25, 2021

Strategi menuju fasa endemik

Mesti baca

KUCHING: Sarawak menubuhkan Jawatankuasa Kerja Kesedaran Awam Covid-19 yang akan menjalankan program pendidikan kesihatan sebagai persediaan masyarakat menuju ke fasa endemik.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jawatankuasa itu akan merangka pelbagai program kesedaran untuk orang ramai memahami situasi semasa serta diadaptasi dalam kehidupan seharian era pascavaksinasi.

“Ini penting untuk kita tahu bagaimana hidup dalam era pascavaksinasi yang membolehkan masyarakat kembali sihat, menjalani kehidupan seperti dahulu serta negeri kembali berdaya saing dalam mengejar visi Sarawak maju menjelang 2030.

“Tambahan pula sekarang kita berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negera (PPN), jadi saya harap program ini akan dapat sampai kepada rakyat melalui pelbagai saluran tidak lama lagi,” katanya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata demikian pada sidang media berkenaan Jawatankuasa Kerja Kesedaran Awam Covid-19 di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Uggah berkata, jawatankuasa itu akan diketuai oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Jabatan Penerangan Malaysia, TVS, RTM, Bernama dan media lain termasuk mengedarkan pelbagai risalah kepada orang ramai.

“Kita mesti mengingatkan orang awam untuk sentiasa menjaga keselamatan diri kerana dalam fasa pascavaksinasi ini, semua pihak mesti memainkan peranan masing-masing dan bukannya mengharap kerajaan sahaja.

“Sarawak sudah melepasi pelbagai fasa pandemik, ada yang kita berjaya tangani dengan baik hasil kerjasama semua pihak terutama rakyat yang mematuhi SOP.

“Sekarang kita berdepan dengan cabaran terbesar kerana varian Delta, namun saya amat yakin jika semua orang memainkan peranan dengan baik, kita akan dapat memenangi peperangan ini,” tegasnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru