Monday, October 25, 2021

Ingkar patuhi arahan: Warga emas didenda RM150

Mesti baca

KUCHING: Seorang warga emas hukuman denda RM150 atau penjara seminggu oleh Mahkamah Majistret semalam, atas kesalahan gagal mematuhi arahan pegawai awam yang bertugas semasa sekatan jalan, 15 September lepas.

Tertuduh Tan Thiam Yuan,64, merupakan ahli perniagaan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca dihadapan Hakim Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Jalan Lebuh Raya Ekpres Kuching-Samarahan semasa sekatan jalan raya dilakukan oleh pihak polis, sekitar jam 6.55 petang, 15 September lepas.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 21 (2) Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda maksimum RM250 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pihak polis telah menahan sebuah kenderaan jenis Range Rover dan meminta kad pengenalan pemandu untuk semakan semasa melakukan sekatan jalan raya di Lebuh Raya Expres Kuching-Samarahan, 15 September lalu.

Selepas menyerahkan kad pengenalan, pegawai bertugas mengarahkan pemandu memberhentikan kereta di bahu jalan berdekatan khemah Sekatan Jalan Raya 7(SJR) untuk pemeriksaan lanjut.

Namun, tertuduh memecut kenderaan dengan laju sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan. Tertuduh berjaya ditahan oleh pihak polis di Jalan Wan Alwi, Simpang tiga lalu dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah mengingkari arahan pegawai awam yang bertugas dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 (2) Akta Polis 1967.

Difahamkan, tertuduh salah faham dengan arahan yang diberikan oleh pegawai bertugas untuk berhenti di bahu jalan.

Dia juga tidak menyedari kad pengenalan miliknya belum diberi balik oleh pegawai bertugas kerana dokumen lain yang diminta telah diserahkan serta menyangka tanda isyarat tangan yang dilihat menyuruhnya menyambung semula pemanduan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.

Secara Rawak

Artikel Terbaru