Monday, October 25, 2021

Didenda RM600 tidak amal penjarakan fizikal

Mesti baca

KUCHING: Tiga pelajar asing masing-masing dijatuhi hukuman denda RM600 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam, atas kesalahan melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia semasa terlibat aktiviti keramaian sehingga gagal melakukan penjarakan fizikal, Mei lalu.

Tertuduh Ibrahim Kamaleldin Ibrahim Mohamad, 22, SM Ragib, 21, dan Saleh Ahmed Saleh, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dengan seorang jurubahasa di hadapan Hakim Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, mereka yang berasal dari Bangladesh, Yemen dan Sudan didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bar di Jalan Padungan, kira-kira jam 9.25 malam, 7 Mei lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda Maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, Sepasukan polis bersama pegawai penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan UKPN telah menangkap kesemua tertuduh yang merupakan warga asing sedang berhibur dengan menyaksikan pertunjukan nyanyian band secara langsung di dalam sebuah bar di Jalan Padungan, sekitar jam 9.25, 7 Mei lepas.

Hasil siasatan mendapati mereka telah melanggar arahan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia kerana terlibat dengan aktiviti keramaian sehingga gagal melakukan penjarakan fizikal.

Difahamkan, kesemua tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kesalahan tersebut pertama kali dilakukan.

Tertuduh juga menyatakan bahawa ketika mereka memasuki premis tersebut, pemilik bar atau pekerja tidak menunjukkan dan menerangkan sebarang Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.

Secara Rawak

Artikel Terbaru