Monday, October 25, 2021

Banyak cadangan moratorium dilanjutkan

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa beliau menerima banyak cadangan supaya tempoh moratorium sedia ada dilanjutkan.

Menurut beliau, antara alasan ramai yang hilang pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19 masih belum memperoleh pekerjaan baharu.

“Alasan itu realistik bersandarkan perangkaan Statistik Tenaga Buruh pengangguran di Malaysia kembali meningkat kepada kadar 4.8 peratus Jun lalu.

“Begitu juga yang pernah hilang perniagaan akan mengambil masa sebelum dapat menjayakan perniagaan baharu.

“Mereka berasa khuatir tidak mampu keluar daripada kesulitan kewangan sebelum tempoh moratorium sedia ada berakhir,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), walaupun sektor ekonomi telah dibuka semula, tetapi ramai menjangkakan ia tidak pulih secara drastik dalam tempoh terdekat.

“Mungkin sebelum tempoh moratorium sedia ada berakhir satu pengumuman lanjutan moratorium sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan lagi diumumkan,” katanya lagi.

Ini kerana katanya, pengumuman awal adalah penting untuk membolehkan rakyat membuat unjuran perancangan kewangan mereka dari sekarang.

“Mungkin boleh dipertimbangkan menerusi Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Secara Rawak

Artikel Terbaru