Friday, October 22, 2021

Banglo di Kuching diserbu polis

Mesti baca

KUCHING: Sebuah banglo satu tingkat yang dijadikan pusat pengoperasian judi dalam talian di Taman Stutong Indah, Tabuan Jaya, di sini diserbu polis dalam satu operasi pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ashmon Bajah berkata, seramai lima warga asing dan empat warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 31 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari.

Dalam serbuan tersebut, katanya, polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk tujuh unit monitor komputer, tujuh unit pemprosesan komputer (CPU), lapan buah telefon bimbit, router, modem dan peralatan lain dalam menjalankan kegiatan judi dalam talian.

“Siasatan awal mendapati premis tersebut telah beroperasi secara syif untuk tempoh 24 jam untuk enam bulan yang lepas.

“Berdasarkan kepada rekod dan transaksi yang berjaya disemak, dipercayai jumlah keuntungan kasar sindiket tersebut sebanyak RM2,000 sehari dan boleh mencecah RM60,000 sebulan. Pihak polis kini sedang mengesan pemilik sebenar banglo tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ashmon berkata, kesemua suspek yang ditahan bekerja sebagai operator pengendalian judi dalam talian sejak enam bulan lalu dengan bayaran gaji sebanyak RM1,500.

Katanya, setiap operator yang diupah dibayar amaun sebagai bonus berdasarkan peratusan keuntungan yang diperoleh sindiket.

Beliau menambah, suspek akan membuat panggilan kepada pelanggan sebagai salah satu cara untuk mempromosikan perjudian atas talian.

“Selain panggilan telefon, kesemua operator ini mempromosikan judi atas talian menggunakan aplikasi dan laman sosial seperti Whatapps, Telegram, Wechat, Skype dan Facebook,” jelasnya.

Ashmon berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 51(5)(B) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, kesemua suspek warga asing ditahan reman selama 14 hari sehingga 4 Oktober hadapan manakala suspek warga tempatan ditahan direman sehingga 24 September.

Secara Rawak

Artikel Terbaru