Friday, October 22, 2021

Kerajaan berusaha tingkatkan, perluaskan  liputan internet di Sarawak

Mesti baca

LIMBANG: Kerajaan sedang berusaha meningkatkan kemudahan komunikasi dan memperluaskan lagi liputan internet di Sarawak.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukan yang besar bagi tujuan tersebut. 

“Kerajaan Persekutuan melalui Program JENDELA telah memperuntukkan sejumlah peruntukan yang sangat besar untuk Sarawak. 

“Bagi kita di Sarawak, Ketua Menteri telah pun memperuntukkan sebanyak RM2 billion untuk kemudahan telekomunikasi. 

“Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) mempunyai perancangan dan program untuk meningkatkan lagi internet connectivity kita sama ada di bandar, di pinggir bandar mahupun di kawasan luar bandar,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Komputer “Raspberry PI” Sekolah-Sekolah Rendah di Daerah Limbang pada Ahad. 

Bagaimanapun, projek menaik taraf kemudahan komunikasi ini tertangguh disebabkan penularan wabak pandemik COVID-19 dan akan diteruskan sebaik sahaja keadaan membenarkannya. 

Mengenai Program Penyerahan Komputer “Raspberry PI” Sekolah-Sekolah Rendah, Datuk Amar Awang Tengah  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR) yang membekalkan komputer ini kepada 35 buah sekolah rendah di Daerah Limbang ini. 

Katanya, Kerajaan Sarawak telah memperuntukan RM12 juta bagi program ini yang akan diagihkan kepada semua sekolah rendah di Sarawak. 

“Dalam suasana kita berdepan dengan COVID-19, keperluan kepada penguasaan Teknologi Maklumat (IT), digital dan platform ini jelas begitu penting sekali. Bukan sahaja sektor pendidikan dan kemahiran malah dalam sektor-sektor lain. 

“Kita kesian melihat anak-anak kita malah guru-guru turut risau dalam keadaan pandemik ini sekolah sekejap buka, sekejap tutup dan banyak masa mereka terbuang. 

“Dalam keadaan ini kita cuba menyesuaikan bagaimana proses pembelajaran itu dapat dilaksanakan dan banyak yang menggunakan secara talian,” ujarnya. 

Pada majlis itu, turut diserahkan Simbolik Penyerahan Baucar Bantuan Pakaian Seragam Sekolah bernilai RM200 setiap satu sebanyak 900 baucar dengan jumlah keseluruhannya RM180 ribu daripada Yayasan Sarawak untuk 40 buah sekolah di daerah Limbang dan Penyerahan Geran MRP kepada kelab-kelab kebajikan, sukan dan sosial jabatan kerajaan serta 7 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Daerah Limbang.

Hadir sama ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Presiden Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Mat Zinan Wahit, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Husini Bakir dan Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Limbang Said Matzin.

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru