Monday, October 25, 2021

Uggah tinjau tapak projek di Bukit Saban

Mesti baca

BETONG: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah membuat lawatan di konstituensi beliau bagi meninjau serta memantau beberapa tapak projek kerajaan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban, pada Sabtu.

Terdahulu, Datuk Amar Douglas mengadakan perjumpaan bersama pihak Kesihatan Bahagian Betong yang diwakili Pegawai Kesihatan Daerah Betong, Dr Johnny Pangkas di Rumah Rehat Kerajaan, Betong berkaitan situasi semasa COVID-19 yang semakin menular dan membimbangkan di daerah tersebut.

Ia berikutan kes harian kekal tinggi di Betong masih lagi mempunyai hubung kait dengan Kluster Bungey 2 dan Kluster KM20 Jalan Betong sehingga banyak lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Manakala, perjumpaan dengan pihak Majlis Daerah Betong yang diwakili oleh Setiausaha Majlis Daerah Betong, Charlie Keling lebih banyak membincangkan mengenai perkembangan status terkini projek-projek kerajaan yang dilaksanakan di bawah agensi tersebut seperti Projek Pembinaan Market Baru Spaoh dan Projek Pembinaan Kompleks Sukan Spaoh. 

Pada sebelah petang, beliau hadir ke tapak Projek Pembinaan Kompleks Sukan Spaoh yang bernilai RM11 juta.

Difahamkan, projek tersebut agak ketinggalan serta telah melebihi tempoh yang telah ditetapkan serta meminta agar agensi pelaksana iaitu Majlis Daerah Betong untuk ambil perhatian berkaitan perkara tersebut.

Terdahulu, beliau turun padang bagi melawat tapak Projek Pembinaan Market Baru Spaoh untuk melihat perkembangan terkini projek tersebut yang menelan kos sebanyak RM5 juta.

Projek tersebut telah bermula pada September 2020 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Disember 2021.

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru