Monday, October 25, 2021

Penduduk Rumah Mawang terima bantuan RM1.89 juta

Mesti baca

TATAU: Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memberikan bantuan sebanyak RM420,000 bagi 35 pintu Rumah Mawang yang telah musnah dalam kebakaran pada tahun 2018. 

Menurut Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai, sebanyak 21 pintu penduduk Rumah Mawang turut mendapat Bantuan Tabung Amanah Bencana Negeri Sarawak atau Bantuan Ehsan Kebakaran daripada Kerajaan Sarawak. 

“Bantuan ini adalah berjumlah RM70,000 sepintu dengan jumlah keseluruhan bantuan untuk 21 pintu adalah bernilai RM1.47 juta. 

“Selain itu, Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga telah membantu sebanyak RM420,000 bagi 35 pintu dengan setiap pintu menerima bantuan RM12,000 melalui Timber Cess Fund atau dana yang diperolehi dari cukai kayu Sarawak. 

“Secara keseluruhannya, bantuan yang diterima penduduk Rumah Mawang bagi pembinaan semula rumah panjang ialah RM1.89 juta,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Rumah Mawang di Nanga Takan Ulu Anap Tatau pada Ahad. 

Pada 2018, Rumah Panjang Mawang di Nanga Takan Ulu Anap, Tatau yang mempunyai 21 buah pintu musnah dalam kebakaran. 

Selepas berlakunya kejadian tersebut, penduduk dari rumah panjang tersebut telah membina dua rumah panjang iaitu Rumah Panjang Mawang dan Rumah Panjang Andrew. 

Datuk John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus turut memberitahu Kerajaan Sarawak turut memberikan bantuan yang sama kepada penduduk Rumah Micheal China dan Rumah Sengalang yang musnah dalam kebakaran. 

“Selain itu terdapat juga rumah panjang lain di Daerah Tatau yang terlibat dalam musibah kebakaran. 

“Kerajaan Sarawak juga turut memberi Bantuan Ehsan Kebakaran kepada 10 pintu penduduk Rumah Micheal China dengan nilai keseluruhan RM700,000 dan 11 pintu Rumah Sengalang dengan jumlah keseluruhan adalah berjumlah RM770,000. 

“Saya mewakili masyarakat di Tatau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas bantuan yang diberikan. Bencana kebakaran ini merupakan musibah yang amat berat,” ujarnya. 

Sementara itu, ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Tuai Rumah Mawang dan Tuai Rumah Andrew mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas bantuan yang diberikan dalam membantu membina semula rumah panjang. 

Terdahulu, Datuk John Sikie telah menyerahkan sumbangan berupa 2 unit Blower dan 1 unit Knapsack Battery kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Tatau yang diwakili Ketua Balai Bomba Jankey Jikat. 

Hadir sama Pegawai Tadbir Daerah Tatau Winnie Dian dan Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu Ngu Tie Hua.

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru