Monday, October 25, 2021

Pembangunan Kabong lebih tersusun

Mesti baca

KABONG: Pembangunan empat kemudahan baharu di Kabong yang dianggarkan bernilai RM78.5 juta akan menambah baik fungsinya sebagai sebuah daerah baharu, sekali gus melonjakkan kegiatan ekonomi termasuk pertanian, perkhidmatan serta pelancongan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu, Kabong akan membangun seperti Saratok dan kawasan lain, menjadi koridor yang dapat memberikan pembangunan lebih tersusun sejajar dengan pembinaan jalan pesisir.

“Kerajaan melihat Kabong akan membangun selari statusnya sebagai daerah penuh dan sudah tentu kemudahan juga harus ditingkatkan. “Justeru, kita akan membina Pejabat Daerah Kabong yang baharu bernilai RM7 juta dilengkapi kemudahan untuk memberikan perkhidmatan lebih efektif kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerjanya ke Daerah Kabong di Pejabat Daerah pada Sabtu.

Jelasnya, pejabat baharu lebih sesuai untuk masyarakat bertemu dengan pegawai kerajaan. Projek kedua katanya, membangunkan pekan baharu Kabong seluas 27 ekar.

“Pekan baharu yang dianggarkan menelan kos RM52 juta itu dilengkapi dengan pasar baharu, tempat berdagang kecilkecilan dan kawasan perumahan. “Perancangan kita untuk melonjakkan kegiatan ekonomi – yang harus diwujudkan sebagai limpahan daripada pembangunan jalan pesisir umpamanya potensi Pantai Tanjung Kembang serta banyak lagi.

“Selain itu, pembinaan dewan masyarakat baharu berharga RM5.5 juta yang boleh menampung kehadiran 300 tetamu pada satu-satu masa. “Difahamkan, projek akan bermula tahun hadapan dan dijangka siap pada 2023,” ujarnya.

Beliau menambah, projek lain ialah pembinaan masjid baharu berharga RM14 juta yang boleh memuatkan 1,500 jemaah.

“Menariknya, fungsinya serupa dengan Masjid Darul Hana di Kuching apabila disediakan tempat untuk majlis akad nikah. “Daripada perspektif Islam, afdal jika akad nikah dilakukan di masjid seperti dinyatakan oleh mufti,” jelasnya.

Abang Johari menegaskan, Kabong mempunyai potensi dan kerajaan membangunkan banyak kemudahan demi memberikan keselesaan kepada orang kampung. “Apa yang penting kerajaan GPS mempunyai perancang jangka panjang dan pendek bagi membantu masyarakat di Kabong,” katanya lagi.

Abang Johari semasa lawatan diberikan taklimat projek oleh agensi terlibat. Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Adun Kabong, Mohd Chee Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion turut hadir sama.

Secara Rawak

Artikel Terbaru