Monday, October 25, 2021

Kejayaan dua atlet beri impak positif kepada Sarawak

Mesti baca

KUCHING: Kejayaan dua atlet para Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie meraih pingat di Sukan Paralimpik 2020 jelas memberi impak positif kepada Sarawak.

Hasil pingat emas dan pingat perak diraih kedua-dua atlet bukan sahaja menunjukkan kredibiliti Sarawak dalam sukan membabitkan Orang Kelainan Upaya (OKU) di peringkat antarabangsa di seluruh dunia.

Malah turut berupaya mencetus inspirasi kepada atlet muda khussunya mereka yang berada dalam radar kontinjen Para Sukma Sarawak yang akan bersaing di temasya Sukan Para Sukma Johor tahun depan.

Menteri Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Seri Hajah Fatimah Abdullah menegaskan, seluruh rakyat Sarawak amat berbangga dengan pencapaian hebat kedua-dua atlet terbabit.

Di samping itu, turut dibanggakan penampilan hebat tiga lagi atlet para Sarawak (Jamery Siga, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli & Wiro Ak Julin) yang mewakili negara di temasya tersebut.

“Sejarah yang dilakar kedua-dua atlet ini (Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie) begitu besar maknanya.

“Kita percaya kejayaan diraih mereka berupaya mencetus inspirasi kepada atlet yang akan bertanding di Sukan Para Sukma Johor tahun depan,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Menyambut Kepulangan Wira-Wira Kenyalang, Atlet Paralimpik Tokyo 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) baru-baru ini.

Hadir sama menyambut kepulangan atlet terbabit ialah Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Ak Hollis, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus serta beberapa ketua jabatan kerajaan.

Menurut Fatimah, kejayaan dikecapi oleh Bonnie Bunyau dan Jong Yee Khie adalah bukan mudah untuk selain hasil usaha gigih mereka sehingga mampu meraih kejayaan di temasya tersebut.

“Segalanya memerlukan usaha serta kerja keras yang menuntut pengorbanan begitu tinggi sekali.

“Kita dapat melihat betapa besar pengorbanan yang dilakukan kesemua atlet para Sarawak ini, sentiasa tabah dalam mengharungi hari-hari mendatang biarpun terpaksa berpisah dengan ahli keluarga di kampung halaman,” tambah beliau.

Secara Rawak

Artikel Terbaru