Monday, October 25, 2021

Bantuan kepada B40

Mesti baca

KUCHING: Melalui Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC)  kerajaan akan mengagihkan bantuan khususnya kepada keluarga dalam kategori B40 bagi memastikan rakyat bebas daripada jangkitan wabak Covid-19.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan memperuntukkan  RM471.6 juta, kerajaan akan menyediakan bantuan PPC seperti pek pelitup muka guna semula (empat keping setiap keluarga); ujian kendiri kit Covid-19 (empat unit kit setiap keluarga); seunit oksimeter nadi; seunit termometer; dan risalah panduan penggunaan serta maklumat berkaitan dengan penjagaan kesihatan.

Menurut Perdana Menteri dalam satu kenyataan, pakej ini merupakan satu persediaan negara ke arah era endemik Covid-19.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 bagi meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan secara khususnya, di samping meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19.

“Pemberian dos ketiga ini tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu, seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga tua dengan komorbiditi,” jelas beliau.

“Kumpulan bersasar ini juga termasuklah individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru